Profile Facebook Twitter My Space Friendster Friendfeed You Tube
Kompas Tempo Detiknews
Google Yahoo MSN
Blue Sky Simple News Simple News R.1 Simple News R.2 Simple News R.3 Simple News R.4

Tuesday, April 3, 2012

Utama » , » Cerpen : Muhasabah Cinta

Cerpen : Muhasabah Cinta


Penulis : Laila Qaisara

Berseri-seri wajah Yaya apabila melihat promo rancangan Halaqah yang terbaru. Tak henti-henti dia menguntum senyum, sehinggakan emaknya yang muncul dari dapur langsung dia tidak perasan.

“Kau kenapa, Yaya?”

Terkejut Yaya mendengar suara emaknya. Pantas dia menoleh, memandang emaknya. Namun senyuman masih melekat di bibirnya. Malah makin melebar.

“Kau kenapa?” emaknya mengulangi pertanyaan tadi.

“Mak tengok ni, iklan rancangan Halaqah ni, mak. Tajuknya bagus sangat. Yaya nak tengok la, mak. Mesti tonton!” suara Yaya kedengaran teruja.

“Pukul berapa?”

“Pukul sepuluh malam ni, mak,”

“Ish, dah malam dah tu. Esok kamu nak bangun awal. Nak kerja. Mak pun nak bangun awal. Tak payah tengok la,” ujar mak. Senyum di bibir Yaya terus mati.

“Tengok apa?” tanya Abang Long Dil yang muncul entah dari mana. Dia terus duduk di sebelah mak.

“Eh, mak! Malam ni pukul sepuluh, ada episod baru Edisi Khas! Kalau tak silap Long, kali ni Johan jadi Karam Singh Walia,” cerita Abang Long Dil dengan penuh bersemangat.

“Johan Raja Lawak tu? Eh, mak suka! Pukul sepuluh malam ni kan? Nanti kita tengok ye, Long! Pukul sepuluh, awal lagi tu….,” Mak pula terlebih teruja.

Yaya terus bangun.

“Eh, kau nak ke mana tu, Yaya?”

“Yaya nak masuk bilik. Nak tidur. Esok nak bangun awal,” tanpa memandang wajah mak dan Abang Long Dil, Yaya melangkah laju ke biliknya.

Sebaik dia berjaya lolos ke biliknya, dia mengesat air matanya. Kata-kata mak tadi terngiang-ngiang di fikirannya.

‘Tengok Halaqah, mengantuk. Tengok Edisi Khas tak mengantuk pulak,’

‘Bukan sekali dua jadi macam ni,’

‘Tak apa la. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni,’

Yaya cuba memujuk diri. Alunan zikir dan istighfar mula membasahi bibir. Senyuman nipis terukir apabila melihat komputer riba yang terletak cantik di atas meja.

‘Tengok kat laman web la. Lagi best. Tak ada orang nak kacau,’

‘Kan? Ada hikmah di sebalik yang berlaku,’

‘Alhamdulilah..,’

*****

“Yaya,”

“Ya, mak,” Yaya yang sedang menghadap komputer ribanya, berpusing menghadap mak yang sedang menghampirinya.

“Kamu tengah buat apa tu?”

“Tunggu kawan emelkan lagu, sambil-sambil tu tengok laman web I Luv Islam,” mak mencebik. Yaya nampak.

“Mak nak cari resepi. Boleh tutup laman web yang entah apa-apa tu tak?” tanya mak. Hati Yaya menangis lagi. Laman web islam dikatanya laman web entah apa-apa…

“Boleh ke tidak?”

“Abang Long buat apa?” tanya Yaya. Setahunya, Abang Long Dil berada di rumah.

“Abang Long kamu tengah main game kat laptop dia. Malas la mak nak kacau dia,” balas mak selamba. Riak wajah Yaya berubah lagi.

Abang Long Dil buang masa main game, mak bagi. Aku nak cari ilmu….

“Kamu nak bagi ke tidak ni?” tanya mak. Namun nada suaranya seperti mendesak.

“Tak apalah, mak guna dulu. Nanti Yaya guna pulak,” Yaya bangun dari kerusi, memberi peluang untuk mak duduk. Mata mak tertancap pada sesuatu di skrin.

“Ni apa ni?”

Yaya menoleh.

“Eh? Kawan Yaya dah hantar emel tu. Mak tunggu kejap ek,” laju Yaya kembali ke komputer ribanya. Mak mendengus.

“Lama lagi ke?”

“Kejap je. Ha, dah siap. Mak guna la dulu. Yaya nak ke dapur kejap,”

“Habis, benda ni?” tanya mak sambil jari telunjuknya dihalakan ke skrin komputer ribanya. Di mana fail lagu yang diemel sedang diuat turun.

“Tak apa, mak. Biarkan aje. Nanti bila dah habis, dia akan padam sendiri,”

“Tak kacau mak?” tanya mak lagi. Yaya menggeleng perlahan. Dibiarkan mak dengan urusannya. Dia melangkah ke dapur untuk mengambil minuman.

“Nak ambil botol ke, nak ambil cawan? Hurm, ambil botol la. Senang sikit nak bawak. Tak la mudah jatuh. Kalau jatuh pun, tak tumpah.,” Yaya berkata-kata sendiri. Kemudian dia ketawa kecil.

“Macam orang gila pulak cakap sorang-sorang,” katanya lagi. Botol kecil berisi air kosong dicapai. Lalu dia melenggang menuju ke biliknya.

Eh??

Telinga Yaya menangkap bunyi yang pelik apabila melewati bilik Abang Long Dil. Diamatinya bunyi itu. Memang sah! Dari bilik Abang Long Dil. Bunyi apa tadi? Efek bunyi permainan komputer ke??

Yaya tengok pintu bilik Abang Long Dil. Tidak rapat. Tak apa kot kalau tolak sikit, fikirnya.

Daun pintu ditolak perlahan dan penuh hati-hati. Berkerut-kerut dahi Yaya menahan nafas. Sebentar kemudian dia terkejut. Terkejut besar.

Abang Long Dil tengok video lucah!!

Perlahan pintu bilik itu ditarik bagi mengelak perbuatannya dikesan Abang Long Dil. Kemudian langkah kaki Yaya laju menuju ke biliknya. Lebih tepat lagi, kepada emaknya.

“Mak, Abang Long…!”

“Yaya! Apa ni? Lagu macam ni kau nak dengar? Mengantuk mak, tau?? Dah la melodi slow, jiwang bukan main, tak habis-habis sebut pasal cinta je. Kau bercinta ke?”


“Mana ada mak!”

“Habis tu dah disebut perkataan cinta je! Kalau dah gatal sangat nak bercinta, bagitau mak! Senang mak carikan lelaki yang kat tepi jalan tu buat suami! Lelaki macam tu je yang sesuai untuk kau ni faham tak?! Dah la, hilang mood aku nak cari resepi macam ni!” mak bingkas bangun dan keluar dari bilik. Sengaja dilanggar bahu Yaya. Pintu bilik dihempas kuat. Mata Yaya berkaca.

******

“Yaya,”

Lamunan Yaya terhenti. Dia memandang wajah Mysara yang tersenyum memandangnya.

“Ada masalah ke?”

Yaya menggeleng.

“Yaya, aku bukan kenal kau baru dua hari. Dah 12 tahun aku kenal kau, sejak sekolah menengah lagi,” kata Mysara sambil mencebik. Yaya tergelak mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Mak kau lagi?” Mysara masih cuba meneka. Yaya mengeluh. Lambat-lambat dia mengangguk.

“Aku dah agak dah…,”

“Salah ke aku nak berubah? Jadi baik? Aku sedar, aku banyak buat dosa dulu,” luah Yaya, sebak.

“Dah mula dahhhh…..,” pantas Mysara memaut erat bahu Yaya. Diusap perlahan.

“Aku sedar, aku banyak buat dosa dulu. Tapi aku dah insaf. Dah bertaubat. Aku nak berubah. Tapi….!”

Air mata Yaya berlinangan.

“Bukan senang nak berubah, Yaya. Kita kena ambil risiko,”

“Aku boleh terima lagi kalau orang lain tak dapat terima perubahan aku, tapi ini keluarga aku…!”

“Sudahlah tu…,” Mysara cuba memujuk. “Kau masih ada aku, kan. Aku ada. ALLAH ada dengan kita. Walau semua orang di dunia tidak mahukan kita, DIA ada,”

Yaya mengangguk perlahan.

*****

“Yaya!!”

Yaya yang sedang membaca, terus menutup bukunya apabila mendengar panggilan emak. Dia terus mendapatkan emaknya di dapur.

“Ada apa, mak?”

“Tolong belikan kunyit. Dah habis pulak,” ujar mak. Yaya tidak tunggu lama, dia terus kembali ke biliknya untuk bersiap. Lima minit kemudian, dia keluar. Berpakaian agk labuh dan longgar.

“Kau bukan nak pergi tempat lain pun! Pergi depan tu je! Tak payah nak bergaya bagai!” perli emak. Yaya diam. Disabarkan hati mendengar kata-kata emak.

“Mak nak beli kunyit kan? Atau ada benda lain yang mak nak tambah?” tanya Yaya mengubah topik.

“Hah, alang-alang kau ke kedai tu, tolong belikan kicap sekali. Kak Ngah kau suka makan nasi dengan kicap,”

Yaya tersenyum pahit. Kalau untuk Kak Ngah, apa saja sanggup dilakukan. Kalaulah jantung dalam badan mak tu boleh dicabut macam cabut plug blender tu, rasanya dah lama mak cabut bagi kat Kak Ngah.

“Dengar ke tidak tu? Berangan je,” jerkah mak. Yaya terkejut.

“Dengar, mak,” Yaya terus keluar tanpa menoleh lagi. Dia hanya berjalan kaki keana jarak antara rumah dan kedai tidaklah begitu jauh.

“Berapa semua, uncle?” tanya Yaya ramah.

“Empat ringgit saja,” Yaya sudah mahu menghulurkan sekeping not RM10 apabila….

“Tak apa, uncle. Saya bayarkan,” kata seorang lelaki sambil menghulurkan not RM10. “Kira barang saya ni sekali,” katanya lagi.

“Semua sekali sepuluh ringgit. Ayo adik manis, banyak bertuah kena belanja…,” merah padam wajah Yaya diusik sebegitu. Dia terus mengambil barang-barangnya dan terus keluar dari kedai itu.

“Awak!”

Langkah Yaya terhenti. Dia berpusing. Mamat ni lagi? Apa dia nak?

“Apa?”

“Awak punya barang, yang ini,” lelaki itu memegang plastic yang berisi kicap dan kunyit. Mata Yaya bulat melihatnya. Lantas dia melihat ke dalam plastik yang dipegangnya… pisau cukur, minyak rambut dan… eh???

Yaya malu sendiri. Pantas diberi bungkusan plastic itu kepada lelaki tadi.

“Ambil la balik. Nanti isteri awak marah pulak bila tak ada benda ni,”

“Eh?”

Tanpa menunggu kata balas dari lelaki itu, Yaya terus mengambil bungkusannya di tangan lelaki itu. Kemudian dia terus berlalu. Lelaki tadi hanya tersenyum memandangnya.

*****

“Berapa lama cuti kamu kali ni, Kak Ngah?” tanya emak usai makan malam. Yaya hanya menjadi pendengar setia. Sedaya upaya ditumpukan perhatiannya pada berita yang disiarkan di kaca TV.

“Sebulan, mak. Kenapa?”

“Ha, baguslah. Boleh temankan mak shopping baju. Kalau dengan budak kat depan ni, semuanya tak kena. Ini tak boleh, itu tak boleh…,”

Yaya buat muka selamba. Kena perli lagi…

“La, kenapa mak?” tanya Kak Ngah tidak puas hati.

“Ada je yang tak kena di matanya. Baju tu ketat la, nipis la, jarang la, singkat la…,”

“La, kenapa kau nak halang mak pulak, Yaya? Biarlah mak nak pakai baju apa yang mak suka. Yang kau nak halang mak tu kenapa?”

Pantas Yaya menoleh apabila mendengar kata-kata Kak Ngah.

“Lagipun, sejak bila kau jadi ustazah ni? Dah buang tebiat? Nak mamp…,”

“Kak Ngah!!!” potong Yaya pantas. Terkejut Kak Ngah dan emak mendengarnya.

“Salah ke kalau Yaya tegur cara mak berpakaian. Jadi tanggungjawab Yaya sebagai anak untuk tegur kalau mak tak tutup aurat dengan sempurna. Siapa lagi yang nak tegur kalau bukan kita?”

“Eleh, kata orang. Dia lagi teruk dulu, ada hati nak nasihat orang…,”

Yaya bangun.

“Memang Yaya dulu teruk, Kak Ngah. Memang benda-benda buruk dulu Yaya pernah buat. Tapi sekarang ni Yaya dah insaf. Yaya dah bertaubat. Yaya nak berubah,”

“Taubat ke tau buat?” sindir Kak Ngah sinis. “Lagipun, mampu ke insaf tu hidupkan ayah balik?”

Yaya menggeleng perlahan. Malas mahu bertekak dengan kakaknya, dia terus meluru ke biliknya. Air matanya tumpah jua.

*****

“Yaya,”wajah Kak Ngah menjengah di balik pintu.

Yaya yang sedang mendengar lagu Satu Cinta di telefon bimbitnya, sambil membaca Majalah Solusi, tidak menghiraukannya. Kak Ngah jadi geram kerana tidak dipedulikan.

“Yaya!” paha Yaya ditepuk kuat.

“Allahuakbar!!” Yaya melatah. Laju dicabut ‘earphone’ dari telinganya. Dijeling Kak Ngah yang sudah tergelak kesukaan.

“Aku belum pernah dengar lagi, orang melatah sebut nama Allah,” kata Kak Ngah apabila tawanya reda.

“Janggal? Tapi tak dosa kan? Sekurang-kurangnya berzikir. Dapat jugak pahala, daripada melatah sebut benda mencarut-carut tu,” balas Yaya selamba. Dia kembali membaca Majalah Solusi di tangan. Kak Ngah mencebik.

“Ni nak apa pulak mengendeng macam tak cukup tulang ni?” tanya Yaya apabila dilihat Kak Ngah semakin mendekatinya dengan senyuman yang dia sendiri gagal tafsirkan.

“Tidur dengan aku malam ni?”

“Ha?” terhenti bacaan majalah di tangan.

“Tak tau pulak kau ni pekak,”

Yaya mengerutkan dahi. Apa yang dia nak ni sebenarnya?

“Bagi satu sebab kenapa Yaya kena buat macam tu,”

“Tak baik kan melawan cakap orang yang lebih tua..,” bahu Yaya diusap lembut. Yaya diam. Berfikir.

“Lagipun, kat rumah sewa kitorang, kitorang tidur beramai-ramai. Dah terbiasa. Kat rumah ni, tidur sorang-sorang, takuttt..,” Kak Ngah memeluk dirinya, pura-pura menggigil ketakutan.

“Tak tau pulak kalau Kak Ngah dah jadi penakut sekarang ni. Dulu tu bukan main berani lagi…,”

“Ala, boleh la Yaya..,”

“Nanti Yaya datang bilik akak,” akhirnya Yaya mengalah.

“Ala, sekarang la…,”

“Yaya nak simpan majalah ni dulu, ambil telekung, ambil charger telefon…..,” Yaya mula membebel. Tapi Kak Ngah tidak mendengarnya. Dia tersenyum penuh makna.

*****

“Assalamualaikum warahmatullah…,” salam kedua diucapkan sambil menoleh ke kiri. Sekilas Yaya. Menjeleing ke katil. Tadi, masa dia bangun, batang tubuh Kaka Ngah sudah tiada di sebelahnya. Mana dia pergi? Malas mahu berfikir, dia terus bangun untuk menunaikan solat Tahajjud, diikuti solat witir. Dan bayang Kak Ngah masih belum kelihatan.

“Mana je Kak Ngah pergi ni?” bisik Yaya perlahan. Dia mengeluh. Tangan digosok perlahan sambil bibir melafazkan zikir. Dia berteleku seketika.

Ketika dia mahu menadah tangan membaca doa, dia terdengar bunyi pintu dikuak. Dia menoleh… dan dia melihat Kak Ngah berjalan terhuyung-hayang menuju katil. Bau itu… Kak Ngah mabukkah?

“Kak Ngah…,” panggil Yaya.

“Jangan kacau la! Aku nak tidur!” balas Kak Ngah kasar. Dia menghempaskan tubuhnya ke katil. Sebentar kemudian kedengaran bunyi dengkuran dari Kak Ngah.

Mata Yaya berkaca.

“Kak Ngah… Kenapa… Kenapa akak seakan mengulangi sejarah Yaya yang lama?”

*****

Suasana di kelab malam itu memang bingit dengan muzik dan pengunjung yang tidak putus-putus. Yaya hanya memerhatikan Nancy yang rakus meneguk arak yang berada di tangannya. Yaya juga minum tapi tidaklah sampai mabuk teruk seperti Nancy.

“Nancy, sudahlah tu. Kau pun dah mabuk teruk ni,”

“No!” Nancy membantah. “Aku belum puas,” dia meneguk sisa arak yang berada di dalam gelas. Dipesan lagi dua gelas. Segelas diteguk rakus sementara segelas disuakan kepada Yaya yang kemudian menyambutnya.

“Sudah la tu. Esok kita kan ada kelas. Jom la balik,”

“Sejak bila kau jadi baik ni? Selalunya kau tu rajin je ponteng kelas Miss Maha. Dia bagi kau makan apa ha?” balas Nancy pula. Memang selama ini mereka selalu ponteng kelas Miss Maha, kerana tidak tahan dengan leteran wanita itu.

“Aku penat la wei… jom la balik…,” Yaya sudah tersengguk-sengguk kerana penangan air haram itu.

“Ye la, ye la. Kita balik jom. Siapa nak drive ni?”

“Aku la. Kau kan mabuk teruk ni,” kata Yaya. Mereka berjalan terhuyung-hayang keluar dari kelab malam menuju ke kereta.

“Eleh, kata orang. Kau pun sama. Hik hik hik…,” kata Nancy sambil tergelak. Yaya ikut tergelak.

“Eh, bukan kau takde lesen ke?”

“Peduli apa? Bukannya ada ‘roadblock’ pun malam ni,” balas Yaya sambil menghidupkan enjin kereta. Kereta mula bergerak tapi terhuyun-hayang macam si pemandunya juga.

“Eh, mana kau tau malam ni takde ‘roadblock’? karang terjumpa nanti, naya je. Dua-dua kantoi. Dah la kau takde lesen,”

“Eleh, aku tau la. Kawan aku ada cakap,”

“Bila masa kau kawan dengan polis trafik ni?”

“Ada la. Dalam mimpi,” Yaya tergelak besar.

“Yaya! Kereta!”

*****

“Yaya!”

Lamunan Yaya terhenti. Cepat-cepat dia mengesat matanya. Dipandang wajah Kak Ngah yang kemerah-merahan kerana terlalu mabuk.

“Kau bagitau mak, kau siap!” tekan Kak Ngah. Kemudian dia menyambung dengkurannya.

Air mata Yaya mengalir lagi tanpa dipinta. Kenapa Kak Ngah ulanginya?

*****

“Mak,”

Mak yang sedang sibuk di dapur menyahut.

“Kenapa sekarang ni Yaya pakai baju longgar walaupun dalam rumah?”

“Entah dia tu, mana la mak tahu. Bila mak tanya, dia jawab dia tak nak tanggung dosa buka aurat. Adik beradik je pun, bukannya boleh timbul nafsu,”

Bila dengar sahaja perkataan ‘nafsu’ itu, terus darah Abang Long Dik naik. Teringat dia di masa dulu-dulu, dia suka ‘menjamu mata’ dengan Yaya yang suka memakai pakaian yang ketat dan seksi. Tapi sejak Yaya dapat mengesan kelakuannya itu, dia terus melabuhkan dan melonggarkan pakaiannya hari demi hari.

“Eleh, dia nak tunjuk alim la tu. Bukan Abang Long tak tau yang dia keluar malam balik,”

“Keluar malam balik?”

“Ya, mak. Malam tadi, Abang Long ke biliknya, nak pinjam barang. Dia tak ada dalam biliknya. Mesti dia keluar nak lepaskan gian dia tu. Nak teguk air haram tu,” tuduh Abang Long Dil tanpa usul periksa. Mana mungkin dia beritahu tujuan sebenar dia ‘berkunjung’ ke bilik Yaya malam tadi.

“Yaya!!!!!”

Melengking suara mak dalam rumah itu. Terkejut Abang Long Dil mendengarnya. Juga mengejutkan Yaya yang baru selesai menunaikan solat sunat dhuha. Terkocoh-kocoh dia melipat telekungnya.

“Aku paling pantang dengar benda-benda macam ni kat dalam rumah ni! Yaya! Mana kau?! Keluar!!”

“Ya, mak,” laju Yaya menyahut. Bimbang nada suara mak mekin meninggi apabila panggilannya tidak disahut.

“Kau mari sini!” tempik mak apabila melihat kelibat Yaya. Cepat-cepat Yaya menghampiri maknya.

“Kau memang nak kena dengan aku!!!” terus ditarik-tarik rambut Yaya sehingga gadis itu terjerit-jerit kesakitan

“Ampun mak!!!”

“Sebab benda haram tu kau bunuh orang, tak serik lagi?” mak sudah naik gila. Abang Long Dil hanya melihat, tidak berbuat apa-apa. Bukan tidak mampu, tetapi tidak mahu.

“Bukan Yaya, mak!”

“Kalau bukan kau, siapa lagi? Siapa lagi yang pernah teguk air haram tu kat rumah ni?!”

“Bukan Yaya, mak! Sumpah!”

“Kau jangan nak main-main dengan sumpah, Yaya!!”

“Ampun, mak! Sumpah, bukan Yaya, mak!”

“Kau keluar dari rumah ni!”

“Mak!! Ampun mak!!!”

“Keluar!!” rambut Yaya yang ditarik dari tadi, terus diseret ke muka pintu.

“Keluar kau dari rumah ni! Dasar anak pungut tak sedar diri! Kalau bukan laki aku yang kutip kau kat tong sampah dulu, aku tak bela kau, tau tak! Sebab kau, laki aku mati! Dia mati sebab kau!”

“Mak…!”

“Kau keluar dari rumah ni! Aaku dah tak nak bela kau lagi! Jangan panggil aku mak lagi! Aku bukan mak kau! Kau bukan anak aku!”

“Mak….!”

Yaya terus manangis dan menangis.

*****

“Tak sangka mak kau sanggup buat macam tu,” kata Mysara sambil menghulurkan tisu kepada Yaya. Mata Yaya bengkak kerana terlalu lama menangis.

“Betul cakap mak aku. Kalau bukan sebab aku mabuk malam tu, kitorang takkan kemalangan. Nancy takkan mati. Ayah aku takkan mati sakit jantung bila dia dapat tahu apa yang aku dah buat,” luah Yaya.

“Dah la tu, benda dah jadi kan. Kau pun dah insaf dan dah taubat kan,” Mysara cuba memujuk.

“Insaf takkan buat ayah aku hidup balik, Sara. Taubat takkan hidupkan Nancy!”

“Astaghfirullah Yaya!!!! Apa yang kau cakap ni?” Mysara terkejut. Bahu Yaya digoncang perlahan. Kasi Yaya sedar sedikit.

“Tolong la Yaya, jangan persoalkan takdir yang telah berlaku! Iya memang! Nancy mati dalam kemalangan tu. Ayah kau mati sebab sakit jantung lepas dia dapat tahu berita tu. Tapi dah memang itu takdir mereka! Kalau bukan sebab kau, diorang tetap akan pergi, Yaya! Jadi aku mohon dengan kau, aku mohon dengan sangat, jangan persoalkan lagi!”

Esak tangis Yaya makin mereda. Mysara memeluknya erat, seakan tidak mahu melepaskannya lagi.

“Aku tak kuat hadapi ujian ni Sara…,”

“Kau kuat, Yaya. Aku tau. Allah tahu, Yaya. Allah takkan uji kita kalau kita tak mampu hadapinya,”

Yaya mengangguk perlahan.

“Ingat Yaya. Ujian itu barokah,”

Yaya mengangguk lagi.

*****

“Yaya, aku tunggu kau kat kereta,” kata Mysara sebaik sahaja mereka bersalaman usai solat Isyak. Yaya mengangguk. Sudah menjadi kebiasaannya untuk menunaikan solat sunat taubat selepas solat Isyak. Kebiasaan itu Mysara tahu. Kerana itu dia akan menunggu Yaya di kereta.

Selesai solat sunat taubat dan berdoa, dia terus bangun. Telekung tidak dibuka. Cadangnya dia mahu terus pulang. Dia mencari Mysara di tempat letak kereta. Dan dia melihat Mysara bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang membelakanginya. Langkahnya segera dilajukan, bimbang situasi Mysara mengundang fitnah. Berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” jawab kedua-duanya serentak. Lelaki tadi menoleh. Dan Yaya terkejut besar.

“Awak?”

“Hai, tak sangka boleh jumpa awak kat sini. Berjodoh rupanya kita ye,” kata lelaki itu. Wajah Yaya memerah.

“Korang kenal ke?” tanya Mysara hairan.

“Kitorang pernah jumpa sekali kat kedai hari tu,” mana mungkin Yaya lupa peristiwa di kedai tempoh hari. Malu besar dia kerana tersalah ambil barang.

“Mana isteri awak?”

“Isteri? Saya belum kahwin lagi la,”

“Habis tu?”

“Habis tu apa?”

“Yang awak beli tuala wanita tu, untuk adik awak ke?”

Mysara tahan gelak.

“Saya anak tunggal la,”

“Aik?” Yaya semakin bingung. Lelaki tadi tersenyum.

“Yang sebenarnya, uncle tu salah masukkan barang tu dalam beg plastic saya. say terus periksa bila awak sebut perkataan ‘isteri’ hari tu. Terus saya patah balik ke kedai tu untuk pulangkan,” jelas lelaki itu. Yaya tertunduk, wajahnya merah menahan malu.

“Apapun, nama saya Syukri. Gembira dapat jumpa awak,”

“Yaya,”

“Okey la, Sara. Saya dah dapat tahu apa yang saya nak tahu. Saya balik dulu. Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” jawab Mysara. Yaya turut menjawab salam Syukri, tapi hanya perlahan. Mysara hanya menghantar Syukri keluar masjid dengan pandangan matanya sahaja.

“Aku tak tau pun antara kau dan Syukri ada kisah tersendiri,” usik Mysara sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta.

“Siapa dia tu?” Yaya cuba mengubah topik.

“Kau tak kenal ke?” tanya Mysara. Yaya menggelengkan kepalanya.

“Dia anak imam masjid ni la. Baru balik dari Mesir. Kau untung la. Tadi dia nampak kau datang dengan aku. Tu yang dia datang kat aku tu. Dia tanyakan kau,”

“Kau ni merepek je la, Sara,” Yaya cuba berdalih. Namun hainya berbunga-bunga.

“Eh, betul la apa aku cakap ni! Dia cari kau tadi. Aku rasa, dia sukakan kau la,”

Yaya mencebik.

“Mana la tau, kot-kot jodoh kau dengan dia,” giat Mysara lagi.

Yaya tersenyum manis, namun tiba-tiba senyumannya mati.

*****

Dua hari kemudian, rumah Mysara didatangi oleh seorang wanita. Kata Mysara, wanita itu adalah ibu saudara kepada Syukri dan berhasrat untuk merisik Yaya bagi pihak lelaki itu.

Galau Yaya semakin menjadi-jadi.

“Aku tak layak untuk Syukri, Sara,” luah Yaya, ketika mereka sedang menikmati makan malam di kedai makan yang berhampiran dengan masjid.

“Apasal kau cakap macam tu?”

“Ye la, aku kan banyak dosa dulu…,”

“Yaya, kalau dosa yang kita lakukan dijadikan ukuran untuk cari jodoh, sampai bila-bila pun, impian kita untuk mendapatkan suami yang baik takkan tercapai,” hambik kau. Bila Mysara sudah mula berkata-kata, memang tajam menusuk kalbu aje.

“Tapi dia tu anak imam, Sara. Aku ni…,”

“Kat kubur nanti, malaikat tanya ke kau anak imam masjid mana?” satu lagi soalan tajam menikam menusuk kalbu keluar dari celah bibir Mysara. Yaya termangu.

“Yaya, segala yang berlaku ada sebabnya. Ada hikmahnya. Mungkin ini hikmahnya atas apa yang berlaku antara kau dan keluarga kau. Terima la hakikat, Yaya,”

“Mungkin…,” Yaya menghirup jus tembikai yang dipesannya.

“Kau nak bagitau keluarga kau ke?” teka Mysara. Yaya diam. Lambat-lambat dia mengangguk.

“Diorang tetap keluarga aku walau apapun yang terjadi,”

Mysara tersenyum.

“Kau nak aku temankan kau jumpa mak kau?”

“Aku…. Aku….. aku bimbang dihalau lagi. Itu aje,”

“Jangan bimbang. Aku ada. Syukri pun ada,”

Bulat mata Yaya bila mendengar nama Syukri disebut. Terus tegak duduknya.

“Aku minta maaf, Yaya. Aku bagitau apa yang jadi pada kau dan keluarga kau masa makcik dia datang merisik hari tu. Makcik dia terus telefon Syukri dan cerita balik apa yang aku cerita tu. Dia sikit pun tak terusik Yaya, malah dia bersemangat nak bantu kau,”

Yaya mengeluh perlahan.

“Bila kau nak pergi rumah mak kau?” tanya Mysara setelah keadaan sunyi beberapa jeda.

Yaya diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

*****

“Assalamualaikum,”

Tiada sahutan.

“Assalamualaikum….,”

Masih tiada sahutan.

“Tak ada orang kat rumah la, Sara,” kata Yaya. Mysara mengerutkan dahi. Syukri meninjau-ninjau ke dalam rumah.

“Kau pasti ke tak ada orang kat rumah ni?”

“Abang Long Dil kerja, Sara. Kak Ngah, rasanya dah habis cuti dia,” jelas Yaya. “Kalau ikutkan, mak aku ada tapi mungkin dia keluar. Tu yang tak ada orang tu kot. Nak tunggu kenak datang lain hari?”

“Eh? Saya nampak televisyen dalam rumah terpasang,” kata Syukri.

“Terpasang? Siapa kat dalam rumah? Kenapa tak jawab salam?” tanya Yaya sendiri. Dia turut tertinjau-tinjau. “Kalau mak keluar, dia mesti tutup semua suis,”

“Kau ada kunci rumah, Yaya?” tanya Mysara.

“Ada, tapi tak tau la kalau diorang dah tukar,” jawab Yaya sambil mencari kunci rumah di dalam begnya.

“Atas alasan apa diorang nak tukar kunci?”

“Mysara..,” tegur Syukri. Mysara menutup mulut. Dia sedar kesilapannya.

“Dapat,” jawab Yaya sponta apabila dia berjaya membuka pintu pagar dengan kunci dengan dimilikinya. Tanpa berlengah, dia masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum. Mak?”

Tiada sahutan. Yaya melangkah perlahan menuju ruang tamu. Benar kata Syukri, televisyen terpasang di ruang tamu. Tapi soalnya, di mana tuan rumah?

“Mak, Yaya balik ni… Mak!!!”

Yaya menerpa ke arah mak yang terbujur kaku di ruang tamu.

*****
‘Nombor yang anda dail tidak aktif. Sila tinggalkan pesanan anda…,’

Yaya menamatkan panggilan. Masuk kali ini, sudah 15 kali Abang Long Dil dan Kak Ngah cuba dihubungi, tetapi gagal. Dia mengeluh perlahan.

“Tak dapat?” tanya Mysara. Yaya menggeleng. Dia mencuba lagi. Namun hasilnya tetap sama.

“Aku cuba tapi tak dapat. Mungkin telefon ditutup,” Yaya mengeluh lagi.

“Dah kenapa diorang nak tutup telefon pulak?”

“Jangan buruk sangka. Mungkin bateri telefon habis,”

Suasana hening seketika.

“Macam mana ni? Doktor nakkan tanda tangan tu. Kalau tak, pembedahan takkan dijalankan,” Yaya gelisah. Sebentar tadi, doktor memberitahunya bahawa buah pinggang emaknya rosak dan harus dibedah segera. Persoalannya….

“Takkan kau tak boleh tanda tangan?”

“Kalau boleh, dah lama aku buat. Soalnya, doktor tu nak saudara terdekat je,”

“Aik, kau bukan saudara terdekat dia ke?”

“Aku kan anak angkat dia je,”

“Yaya, kau bersama dia susah dan senang. Kau yang tinggal serumah dengan dia sebelum dia halau kau hari tu. Kau yang jupa dia terbujur kaku tadi kat ruang tamu. Kau yang bawak dia ke hospital, sedangkan anak-anak kandung dia entah ke mana. Tu tak cukup lagi kenak buktikan kau rapat dengan dia?”

Yaya diam. Mysara bangun.

“aku nak tanya doktor tu, boleh tak anak angkat tanda tangan borang kebenaran bedah tu. Kalau nak tunggu anak kandung dia yang dua orang tu, memang tak bedah la sampai tahun depan,”

Yaya mengeluh. Apasal la dia tak tanya pasal tu kat doktor tu tadi…

Sementara menunggu kembalinya Mysara, yaya tunduk seketika sambil berzikir untuk menghilangkan galau di hati. Sehinggalah sebuah troli pesakit lalu di hadapannya, spontan dia mengangkat kepala. Pesakit yang berlumuran darah itu amat dikenalinya.

Ya Allah! Abang long Dil!!!

Pantas dia bangun mengekori troli yang mengusung Abang long sehingga dia ditahan oleh Mysara.

“Yaya, kenapa?”

“Abang Long! Sara, Abang Long tu!”

“Sabar Yaya, sabr! Dengar aku cakap dulu. Tadi doktor cakap kau boleh tandatangan borang kebenaran bedah tu,” beritahu Mysara.

“Tapi, Abang Long?”

“Tak apa, nanti kita tunggu sama-sama. Sekarang ni tanda tangan borang ni dulu,” Mysara menghulurkan borang yang dipegangnya kepada Yaya. Tanpa ragu Yaya menurunkan tandatangannya.

“Abang Long?”

“Kau nak tunggu mak kau ke Abang Long?”

Pertanyaa Mysara membuatkan Yaya tersentak. Wajah emak dan Abang Long Dil muncul di ruang matanya. Kemudian wajah…

“Mana Kak Ngah?” tanya Yaya seperti orang kebingungan.

“Yaya….!” Mysara memeluk erat Yaya yang bagai orang arah. Air matanya menitis.

*****

Orang ramai yang mengiringi jenazah emak dan Abang long Dil ke tanah perkuburan mula meninggalkan kawasan itu setelah talkin selesai dibacakan. Atas permintaan Yaya, jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang lahad. Mata Yaya bengkak namun dia tidak lagi mengalirkan air mata. Hanya wajahnya kelihatan sugul.

“Yaya,” bahu Yaya disentuh perlahan. Yaya menoleh. Mysara tersenyum pahit padanya.

“Aku minta maaf, Yaya. Kalau aku tak paksa kau tanda tangan…,”

“Bukan salah kau. Dah sampai masa dia pergi begitu,” kata Yaya.

Dua hari selepas pembedahan, emak Yaya menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana tubuhnya gagal menerima buah pinggang baru. Namun Yaya sempat meminta maaf di atas segala yang dilakukan sebelum ini.

Abang Long Dil pula meninggal dunai pada sebelah petangnya setelah bertarung dengan maut di wad ICU. Dia dipercayai dilanggar ketika cuba melarikan diri dalam satu serbuan oleh pegawai pencegah maksiat semasa dia berdua-duaan dengan seorang pelacur China.

“Polis dah tangkap siapa yang langgar Abang long Dil?”

Yaya mengangguk. “Kak Ngah,”

“Hah?” Mysara melopong tidak percaya.

“Polis cam nombor plat kereta Kak Ngah dan dapat kesan dia di rumah kawannya. Masa kena tangkap tu, dia mabuk teruk,”

“SubhanAllah…,”

“Dia sedar yang dia langgar orang tapi dia tak tahu yang dia langgar tu, abang kandung dia sendiri. Lepas polis bagitau, meraung dia dalam lokap tu,”

“Yaya…,” panggil Syukri. Yaya dan Mysara menoleh. Syukri menunjuk ke arah kereta polis yang baru tiba di kawasan perkuburan itu. Yaya melihat dua orang polis wanita mengiringi Kak Ngah yang bergari.

“Mak!!!!” suara Kak Ngah bergema di kawasan tanah perkuburan itu. Dia meluru ke kubur emak sehinggakan dua orang polis yang menggarinya terpaksa mengikut langkahnya.

“Mak!!! Ampunkan Ngah, mak!!!”

“Dah la Kak Ngah, tak baik meratap di kubur,”

“Ni semua kau punya pasal! Kalau kau tak memandai sain, mak takkan mati!!” ditunjalnya kepala Yaya berulang kali.

Yaya hilang sabar.

“Kak Ngah! Siapa yang curi barang kemas mak yang kat dalam bilik tu? Siapa yang ragut rantai emas mak dari leher mak sendiri? Siapa yang tolak mak sampai mak jatuh? Siapa yang selamba je kunci rumah biarpun mak menjerit minta tolong? Siapa?? Bukan Kak Ngah ke?”

Kak Ngah terdiam. Mysara tergamam. Syukri terkejut.

“Mak dah cerita semuanya, Kak Ngah. Semuanya. Tak sangka Kak Ngah sanggup buat macam tu semata-mata untuk penuhi nafsu berjudi akak tu. Nak teguk air haram tu!”

Nafas Kak Ngah turun naik. Menahan tangis.

“Dah la akak. Yaya sengaja minta kebenaran pada polis supaya Kak Ngah dpat tengok kubur mak dan Abang Long, tapi ini yang akak balas. Terima kasih,” Yaya bangun. Kak Ngah turut bangun setelah polis wanita yang menggarinya bangun.

“Have a nice day in jail,” katanya lalu dia mengisyaratkan polis yang menggari Kak Ngah pergi dari situ. Dia hanya memerhatikan dari jauh kereta polis itu bergerak menjauhi kawasan perkuburan itu.

“Yaya, kau ok?” tanya Mysara.

“Aku ok,”

“Sabar, Yaya. U….,”

“Ujian itu barokah. Aku tahu,” Yaya tersenyum. Dia bersyukur kerana Allah meminjamkan teman sejati seperti Mysara. Lantas dipeluk Mysara erat.

“Dugaan lepas ni mungkin lebih hebat. Kau kena bersedia,”

“Insya Allah. Doakan aku ya, Sara,”

Mysara mengangguk. syukri hanya tersenyum melihat drama sebabak sedari tadi. Hajatnya untuk menyunting Yaya semakin tebal selepas melihat kekentalan Yaya menghadapi dugaan hidup.

#####

Allah menurunkan sesuatu ujian kepada kita kerana Dia rindu untuk mendengar rintihan dari kita. Dia juga tahu tahap kekuatan kita untuk menghadapinya. Bukankah hidup dan mati kita hanya untukNya?? Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Ingat, ujian itu barokah – Yaya

TAMAT
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2012 - All right reserved |Kafe Novella