Profile Facebook Twitter My Space Friendster Friendfeed You Tube
Kompas Tempo Detiknews
Google Yahoo MSN
Blue Sky Simple News Simple News R.1 Simple News R.2 Simple News R.3 Simple News R.4

Tuesday, April 3, 2012

Utama » , » Cerpen : Cincin Di Jari

Cerpen : Cincin Di Jari

Penulis : S.Kausari

Aku membuka mata. Pandanganku berbalam, silau dengan cahaya matahari dari jendela di ruang kamar itu. Perlahan-lahan pandangan samarku menjadi jelas dan aku dapat melihat ruang litup di sekelilingku. Sebuah wad di hospital dengan katil dan sofa panjang. Aku lihat isteriku sedang tidur dengan anakku di sebelahnya. Sudah lama juga aku tertidur. Perlahan-lahan mindaku mula memutarkan semula kejadian yang telah berlaku. Hatiku kecut dan ngilu mengenangkan peristiwa itu. Peristiwa yang tidak aku duga sama sekali. Mataku terpaku melihat jari yang sedang berbalut.

Aku tersentak apabila pintu dibuka dan seorang misi hospital berbaju merah jambu masuk. Isteri dan anakku masih nyenyak tidur. Misi itu tersenyum kepadaku. Setelah menulis sesuatu pada papan klip di hujung katil, dia pun berlalu keluar meninggalkan aku dengan satu simpulan senyum. Sedikit demi sedikit peristiwa yang lepas mula bermain di ingatan. Jika bukan kerana ayahku yang membiayai kos perubatan, tentu kami tidak akan berada di dalam wad seperti ini.

Aku melihat isteriku dengan sayu. Pandangan yang tidak pernah aku lemparkan selama ini. Sebelum ini aku melihat dia sebagai masalah dalam hidupku. Satu penyatuan melalui perkahwinan yang tidak menepati citarasaku.

Masih jelas terngiang perbualan aku dan ayah sebelum kami diijab kabulkan.

“Ayah, mana boleh saya kahwin dengan Marissa. Saya tak cintakan dia.” Kata-kataku membantah keputusan yang dicadangkan oleh ayahku.

“Kau muda lagi, Zahrul. Kau belum mengerti erti cinta.” Jawab ayah. “Cinta dengan jodoh tak sama. Cinta tak semestinya berakhir dengan jodoh. Tapi dalam jodoh ada tersurat cinta yang indah, kalau kau pupuk dengan sabar dan iman. Bukan setakat mengikut hawa nafsu kau saja.”

Kata-kata ayahku bermain semula seperti pita rakaman di telingaku. Kata-kata yang langsung tidak aku mengerti satu masa dahulu. Kata-kata yang aku anggap kolot dan ketinggalan zaman. Ini zaman saiber. Ada facebook, ada blog, ada internet. Cinta bukan sesusah dahulu untuk diperolehi. Zaman ini pilihan di tangan kita. Jodoh adalah cinta yang kita pilih. Pandangan aku yang jelas menunjukkan kejahilan dan kecetekan ilmu agamaku.

Pandangan yang sama juga telah menyiksa jiwa isteriku selama kamu disatukan. Kini baru dapat aku rasa segala keperitan yang dia simpan dan tanggung di dalam lubuk hatinya untuk bersama aku, lelaki yang tidak tahu menghargai cintanya.

Sayu hatiku bila mengenangkan kata-kata yang pernah aku lemparkan kepadanya. Umpama kain buruk bernajis yang aku tempelkan ke wajahnya yang suci da murni.

“Apa kau masak ni?” kata-kata aku yang kasar dan tidak berperasaan.

“Mak abang kata abang suka makan asam pedas ikan pari. Beriya-iya mak abang pesan suruh letak daun kesum, takut Rissa lupa” kata-kata Marissa cuba mengambil hatiku.

“Asam pedas apa macam ni. Kuah cair. Rasa payau semacam.” Kata-kataku satu masa dahulu. Aku semacam tidak percaya aku pernah melafazkan kata-kata sebegitu kepada perempuan dengan hati seluhur Marissa.

“Saya minta maaf bang. Banyak yang Rissa kena belajar lagi” kata-kata Marissa, seperti tersentap dengan reaksiku terhadap kesilapan yang telah diperbuatnya.

“Aku kecewa betul lah kahwin dengan kau ni. Semua yang kau buat tak kena dengan citarasa aku. Masakan ni pun langsung tak membuka selera. Kembang tekak aku dibuatnya.” Kata-kata yang aku lemparkan. Umpama das tembakan membunuh semangat Marissa, seorang perempuan bernama isteri yang tidak tahu aku hargai.

“Dah tak payah susah-susah lagi. Aku makan luar lagi baik” kata-kata terakhir yang mengakhiri pita rakaman dalam mindaku tentang peristiwa kejam yang telah berlaku. Peristiwa angkara kejahilanku dan kecetekan fikiranku sebagai seorang suami.

Syahdu bila aku mengenangkan perasaan Marissa ketika itu. Bagaimana agaknya dia menerima kata-kataku? Yang pasti dia seorang yang tabah kerana selepas kejadian itu dia tetap melayan aku dengan senyuman dan kasih sayang. Walaupun aku balasi dengan kekasaran dan kata-kata yang menghiris hati.

Sehinggalah berlaku peristiwa yang membuka mataku yang buta dalam kecelikan ini. Buta akan cinta seorang perempuan yang tinggi pekertinya bernama Marissa.

Setelah beberapa tahun berkahwin dengan Marissa, kami telah dikurniakan seorang cahaya mata, Zulaikha. Tetapi aku masih lagi belum tahu menghargai cinta seorang perempuan bernama Marissa. Apa yang aku lihat, dia hanyalah objek untuk memuaskan nafsuku dengan cara yang dibenarkan oleh agama. Hati budinya sedikit pun tidak aku nilai dan hargai. Aku lihat dia sekadar satu bebanan dalam hidupku.

Aku tidak pernah mencari yang lain selain Marissa di luar. Tetapi aku sudah mula berjinak-jinak dengan hobi baru yang merbahaya. Semuanya bermula semasa aku cuba melepaskan tekanan di benakku di sebuah kelab malam bersama kawanku Zack. Langsung tidak aku sangka perkara yang aku anggap sekadar hiburan itu telah mengubah hidupku menjadi tunggang langgang.

“Relaxlah bro. Sekali je. Untuk lepaskan tension kau tu,” pujuk Zack ketika kami lihat beberapa orang sedang bermain terup di sebuah meja.

“Aku dah lama tak mainlah Zack. Itupun dulu suka-suka je main kat facebook,” kata-kataku cuba membuat dalih.

“Come on lah, Rul. Kita main suka-suka je malam ni, ” pujuk Zack. Akhirnya aku mengalah dan aku telah bermain terup dengan taruhan wang buat pertama kali pada malam yang memalitkan sejarah hitam dalam hidupku.

Bala telah datang bersalutkan sutera, bertatahkan berlian dan dedaun emas. Aku telah menang besar dalam permainan malam itu.

Semenjak itu judi telah menjadi hobi baru aku. Aku selalu balik lewat malam. Kadang-kadang aku menang besar, tetapi pada kebanyakan masanya aku kalah teruk. Ada kalanya tinggal beberapa sen sahaja dalam poket aku. Kad kredit telah aku gunakan untuk membeli chip untuk berjudi. Apabila terdesak, tabung simpanan Zulaikha aku korek untuk mendapatkan sumber taruhan.

Keadaan menjadi semakin teruk. Aku sudah mula berjinak-jinak dengan Along, ceti haram. Duit yang aku pinjam aku jadikan taruhan untuk berjudi.

Akhirnya tembelang aku pecah. Maklumlah dunia yang sempit, lambat laun pasti ada mulut yang menyampaikannya. Marissa sudah tahu aku ketagihan judi. Lebih teruk lagi ada orang yang datang ke rumah untuk mengutip duit yang aku pinjam, tetapi lebur di meja judi tanpa dapat pulangan.

Pada satu hari aku pulang ke rumah lewat malam dengan cat merah disimbah pada pintu pagar rumahku. Marissa sedang menungguku di ruang tamu dengan kemarahan yang tidak dapat dibendung lagi.

“Sampai hati abang buat Rissa macam ni. Bertahun saya tahan dengan kata-kata dan perbuatan abang. Tak ada satu pun yang saya buat abang hargai.” Marissa memulakan khutbah luahan perasaannya malam itu.

“Sekarang abang bebankan saya dengan perangai abang yang kaki judi. Hari-hari Along datang cari abang. Malu saya dan Zulaikha, bang. Mana saya nak letak muka dengan jiran-jiran, bang?” kata-kata Marissa, umpama angin yang menampar muka aku sepoi-sepoi bahasa. Sedikit pun tidak berkesan dalam hatiku.

Tidak cukup dengan itu, keadaan jadi makin rumit lantaran tindakanku yang seakan hilang fikiran waras. Selang seminggu selepas itu berlaku satu lagi peristiwa yang tidak akan luput dari ingatanku. Peristiwa yang berlaku di meja pertaruhan kelab malam yang menjadi kunjunganku hampir setiap malam. Malam itu aku dikuasai oleh satu perasaan yang mengatakan aku akan menang, seperti dipengaruhi oleh sisi gelap di dalam hatiku.

“Tolonglah, bagilah aku main sekali je malam ini. Aku confident aku boleh menang malam ni,” aku merayu kepada geng kaki judi yang sedang duduk di meja.

“Bro, you dah tak ada duit lagi lah bro. Apa lagi yang you nak bet. Tak kan dengan jari you kot?” seloroh Mike, salah seorang rakan-rakanku di meja judi. Kemudian diikuti hilai tawa sinis mereka yang ada di situ.

“OK, set. Kalau aku kalah, kau boleh potong jari aku. Tapi aku confirm boleh menanglah malam ni” kata-kataku seperti hilang kewarasan.

“Please lah bro, jangan bukan kerja gila macam ni. Lagipun apa kami boleh buat dengan jari kau. Buat sup pun tak cukup,” Mike menyindir lagi. Mungkin dia tidak sangka aku akan mengambil serius cadangannya tadi.

“Aku cakap betul-betul lah Mike. Kalau aku kalah kau boleh potong jari aku.” Aku cuba meyakinkan mereka. Mike terdiam sambil menghembuskan asap rokoknya berkepul-kepul. Lama juga dia terdiam sebelum bersuara.

“Baik. Kalau kau betul-betul nak bertaruh dengan jari kau. Tapi aku tak mahu jari kelingking kau. Aku nak jari manis kau yang bersarung cincin tu.” Mike menyuarakan syarat pertaruhan, seperti ugutan kepadaku untuk berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan yang tidak ada patah balik. Sekali aku hilang jari, aku akan kehilangannya buat selama-lama.

Giliran aku pula terdiam. Akhirnya aku membuat keputusan yang akan aku kesali akibatnya buat seumur hidupku. Kerana bahaya benda celaka bernama judi. “OK”

Malangnya aku telah kalah malam itu. Aku meminta tempoh selama tiga hari sebelum menunaikan janjiku. Peluang itu aku cuba gunakan untuk lari bersembunyi menyelamatkan jariku. Nasib tidak menyebelahi aku apabila beberapa hari kemudian aku disergah di hadapan rumah oleh konco-konco Mike yang telah menewaskan aku di meja judi tempoh hari.

“Bro, kami datang hari ni nak tuntut hutang.” Kata-kata yang membuat aku kecut perut. Aku cuba lari, tetapi mereka telah memaksa aku masuk ke rumah. Mujurlah hanya Marissa ada di rumah, kerana Zulaikha sedang bersekolah.

“Rissa, tolong abang. Dia orang nak potong jari abang,” aku merayu kepada Marissa.

Aku tersedar dari lamunan apabila isteriku mula bergerak dari tempat dia tidur tadi di wad hospital. Zulaika masih lagi lena di sebelah Marissa, kepenatan agaknya. Peristiwa yang terakam di dalam fikiranku itu terhenti dengan serta-merta. Umpama rancangan televisyen yang terhenti kerana bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Aku bingkas bangun menghampiri Marissa. Ada rasa bersalah dan terlalu rendah diri yang tidak tahu bagaimana untuk aku zahirkan kepada Marissa.

Apabila aku duduk di sebelah Marissa, dia memalingkan wajahnya.

“Abang minta maaf Rissa. Atas segala perbuatan abang kepada Rissa” kata-kata yang aku lafazkan walaupun aku tahu itu tiada taranya dengan apa yang telah berlaku.

Mata Marissa telah merah menahan airmata. Aku tidak pasti sama ada itu airmata kemarahan atau kesedihan. Atau mungkin kedua-duanya sekali.

“Hari istimewa ni abang nak ucapkan selamat hari ulangtahun perkahwinan kita. Ini abang ada bawa jambangan bunga istimewa untuk Rissa.” Kata-kataku penuh rendah diri sambil menghulurkan sejambak bunga, cuba memujuk hati insan yang aku sia-siakan selama ini. Sejambak bunga murah yang termampu aku beli dalam keadaan aku yang terhimpit sekarang. Hari ini aku telah dapat melihat dengan jelas sinar cahaya cinta Marissa yang mula mengintai dari ufuk horizon yang selama ini diselaputi kabus hitam kejahilanku.

“Hari ini baru abang nak ingat hari ulang tahun perkahwinan kita. Sudah berapa tahun saya tunggu abang balik untuk sambut di rumah, tapi abang sedikit pun tak hiraukan. Hari ini baru abang nak ingat?” Kata-kata Marissa umpama tamparan hebat ke mukaku.

“Hari ulangtahun perkahwinan apa bang? Sekarang cincin perkahwinan kita pun Marissa dah tak boleh pakai, bang.” Sambung Marissa dengan nada sebak. Matanya telah mula bergenang airmata.

Dengan serta merta peristiwa yang bermain dalam mindaku tadi kembali, seperti sambungan kepada sebuah drama bersiri.

“Rissa, jangan buat kerja bodoh macam ni.” Kata-kataku semasa aku sedang dipegang kuat oleh konco-konco lelaki yang aku berhutang jari dengannya. Kepala dan tanganku ditekan kuat ke atas meja di ruang tamu. Marissa berdiri di hadapanku dengan pisau pemotong daging yang diambil dari dapur.

“Selama ni abang tak pedulikan cinta Rissa. Abang mencari-cari cinta dari tempat yang lain, dari masa lampau abang. Sampai cinta yang Rissa persembahkan depan abang, abang tak nampak.” Kata-kata Marissa dengan nada tegas yang tidak pernah aku dengar keluar dari mulutnya selama ini.

“Rissa harap selepas ini abang sedar betapa Rissa cintakan abang. Walaupun Rissa seperti melukut di tepi gantang. Seperti anjing kurap yang menagih simpati tuannya yang membiarkan dia mati kelaparan di tepi jalan.” Kata-kata akhir Marissa sebelum pisau itu ditetak ke meja.

“Rissa.. Jangan Rissa, JANGAN!!!...” aku menjerit sekuat hati.

Darahnya memercik, singgah ke mukaku yang tergamam. Aku menggigil dengan teruk sekali. Ngeri dengan kejadian yang berlaku di hadapan mataku. Marissa telah mengorbankan jari manis yang tersarung cincin tanda perkahwinan kami.

Aku tersentak apabila sedar dari lamunan. Zulaikha masih lena tidur di atas katil sebelah Marissa di wad itu.. Aku mencapai tangan Marissa yang tidak berbalut.Tangannya aku pegang dan ku usap lembut. Wajahnya masih dipalingkan.

“Rissa, dulu abang buta. Cincin yang Rissa pakai abang tak tahu nilainya. Tapi sekarang abang dah celik. Walaupun abang tak nampak cincin yang Rissa pakai, abang akan tetap nampak cincin yang Rissa simpan di dalam hati Rissa.” Kata-kata luahan ikhlas dari hatiku. Marissa masih memalingkan wajahnya ketika aku memegang tangannya.

“Selama ini abang mencari cinta dari sumber yang salah. Mula-mula abang ingat cinta itu ada pada rupa yang menepati citarasa dan naluri. Abang anggap cinta ada pada wanita yang sepadan dengan abang, pada pandangan mata dan nafsu abang.” Pengakuan luhur akan kejahilanku selama ini.

“Kemudian abang cari cinta dalam apa yang memenuhi kehendak abang. Sebab tu abang rasa Rissa bukan pilihan yang sesuai untuk abang. Abang tak anggap Rissa adalah cinta abang kerana Rissa tidak memenuhi kehendak abang. Rissa tidak dapat memberi apa yang abang inginkan dalam hidup. Sedangkan abang lupa bertanya kepada diri abang sendiri, apa yang telah abang berikan kepada Rissa.” Marissa sudah mula merembeskan airmatanya dengan kata-kataku.

“Tapi akhirnya Tuhan telah buka mata abang. Bahawa cinta adalah pada pengorbanan. Abang baru jumpa cinta yang Rissa simpan untuk abang. Yang selama ini abang lihat seperti sampah di jalanan. Abang dibutakan oleh kejahilan dan kelalaian abang sendiri. Sehingga abang sepak permata Rissa yang berkemilau gemerlapan macam benda yang tak berharga.” Ayat-ayat yang terpacul dari mulutku tanpa dirancang susunannya.

“Sehingga Rissa sanggup mengorban jari Rissa untuk lelaki yang tak tahu menghargai cinta Rissa ini. Masa tu baru abang sedar cinta Rissa. Tapi dah terlambat. Kekesalan abang walau menitiskan air mata darah sekalipun tak akan dapat mengembalikan jari Rissa yang tidak bersalah tu. Abang minta maaf sayang.” kata-kataku yang keluar dari luahan rasa yang aku sendiri tidak sedar begitu menyentuh hatiku sendiri. Aku cuba menahan airmata sebak. Hari ini keegoan aku sebagai seorang lelaki telah hilang, kerana kemurnian dan keheningan cinta seorang perempuan bernama Marissa.

Akhirnya Marissa memandang ke wajahku. Ada sedikit senyum yang terukir pada wajahnya. Umpama satu sinaran yang mengubat hatiku yang diselubungi kegelapan akibat keresahan dan rasa bersalah yang tidak mampu aku gambarkan.


“Sudahlah tu bang. Rissa dah maafkan abang.” Marissa berkata sambil memandang tepat ke dalam mataku dengan pandangan yang redup. “Sebenarnya Rissa telah lama pasrah kepada Tuhan apabila dijodohkan dengan abang,” sambungnya lagi.

“Rissa sedar Rissa bukan wanita pilihan abang. Dan Rissa tidak mampu memberikan apa yang abang inginkan, walaupun Rissa telah berikan yang terbaik dalam hidup Rissa.” Kata-katanya sambil tangannya yang tidak berbalut menggenggam erat tanganku.

“Setiap hari Rissa berdoa kepada Tuhan supaya Dia membuka hati abang untuk cinta Rissa. Setiap hari Rissa bertanya kepada Tuhan. Apakah salah Rissa hingga diberikan dugaan seperti ini? Setiap hari Rissa berendam airmata mengenangkan nasib Rissa. Setiap hari Rissa tahan perit derita mencurahkan cinta kepada seorang yang tidak cinta kepada Rissa. Yang tak tahu menilai cinta yang Rissa curahkan.” Luahan hati Marissa penuh emosi. Aku dapat rasa kehangatan airmata yang bergenang di mataku ketika aku menatap wajahnya yang sayu.

“Sekarang baru Rissa sedar, inilah dugaan Tuhan kepada Rissa. Segala kepayahan yang Rissa lalui tidak sia-sia bang, apabila Rissa lihat abang dah berubah.” Aku dapat rasa jemari lembut Marissa mengusap tanganku.

“Rissa memang cintakan abang. Tapi Rissa tak tahu lagi bagaimana Rissa hendak zahirkan cinta Rissa kepada abang. Akhirnya abang telah membuka mata dan hati abang, dengan pengorbanan jari Rissa ini. Apalah sangat nilai jari Rissa ini jika hendak dibandingkan dengan balasan cinta dari abang, yang Rissa tagih dan Rissa rindukan selama ini.” Aku tidak dapat menahan sebak lagi dengan kata-kata Marissa yang seperti pisau menghiris hatiku, yang selama ini keras membatu dengan keegoanku. Airmataku mengalir sedikit pada wajahku, tetapi dikesat oleh jemari lembut Marissa.

“Abang janji sayang. Abang bukan Zahrul yang dulu. Abang akan buktikan cinta abang kepada Rissa seumur hidup abang, walaupun tidak dapat melenyapkan parut luka Rissa kerana perbuatan abang dulu.” Kata-kataku. Senyuman Marissa membuat aku rasa begitu bahagia, mengubat kekesalan terhadap semua perbuatan aku kepada Marissa. Betapa cinta seorang perempuan bernama Marissa umpama batu karang, yang tegar menghadapi badai laut yang menggila tanpa berganjak sedikit pun. Namun masih mampu menghulurkan secebis kemaafan selepas apa yang diharunginya tanpa rasa berbelah bahagi.

“Ini adalah hadiah ulang tahun perkahwinan yang paling istimewa untuk Rissa. Walaupun Rissa tidak dapat lagi menyarungkan cincin tanda ikatan perkahwinan kita di jari Rissa, bang” ucapan Marissa penuh makna.

Aku dapat rasakan satu cahaya dingin yang baru menyinari perkongsian hidup aku bersama Marissa dan Zulaikha. Sinar cahaya yang bakal menerangkan hari-hari mendatang dalam perkahwinan aku dan Marissa, umpama musim baru dalam episod-episod cinta kami. Sinar ini akan menerangi perjalanan kami, walau apapun badai yang bakal mendatang. Sinar ini akan membuka jalan untuk kami, walau apapun masalah yang terpaksa kami tanggung akibat perbuatanku pada masa lampau. Dan sinar ini juga akan menyemarakkan rasa cinta antara kami berdua, walaupun Marissa tidak lagi dapat menyarung cincin di jari.

TAMAT
(PERMULAAN YANG BARU UNTUK MARISSA & ZAHRUL...)


“Doa adalah senjata yang paling ampuh, dan usaha adalah pelurunya.
Walau bagaimanapun, doa tidak semestinya ditunaikan di dunia ini, kerana ia mungkin akan disimpan menjadi sesuatu yang lebih berharga di akhirat kelak.”

Peringatan:
Watak Marissa dan Zahrul adalah rekaan semata-mata untuk tujuan dramatisasi.
Penulis tidak bertanggungjawab sekiranya anda ingin mengorbankan jari anda demi cinta.
Jari adalah nikmat Tuhan dan perlu digunakan sebaiknya. Gunakanlah doa sebagai senjata dan usaha anda sebagai pelurunya, kerana setiap doa itu tidak disia-siakan oleh Tuhan, selagi betul tujuan dan adabnya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2012 - All right reserved |Kafe Novella