Profile Facebook Twitter My Space Friendster Friendfeed You Tube
Kompas Tempo Detiknews
Google Yahoo MSN
Blue Sky Simple News Simple News R.1 Simple News R.2 Simple News R.3 Simple News R.4

Wednesday, April 4, 2012

Utama » , » Cerpen : Lelaki Kemeja Putih

Cerpen : Lelaki Kemeja Putih



Penulis : Ayumi Afiqah

PENSEL di tangan aku narikan di atas lembaran putih di dalam buku notaku. Bibirku tersenyum, sambil fikiran terus membayangkan wajah seorang lelaki yang sudah mendapat tempat di hatiku sejak kali pertama aku menatap wajahnya. Dialah… lelaki berkemeja putih yang sering aku pandang tanpa dia ketahui. Pantang terserempak di mana-mana, pasti mataku ini liar memerhatikan wajahnya. Sedang aku ralit berkhayal membayangkan wajah kacaknya, aku terasa ada seseorang duduk di sebelahku. Aku berpaling ke sebelah. Wajah Badri yang sedang tersengih-sengih aku balas dengan jelingan. Itu tak lain tak bukan, mesti nak mengacau.

“Buat apa tu?” tanya Badri sambil mengintai ke arah buku nota yang aku pegang. Cepat-cepat buku itu aku tutup lalu aku sumbat ke dalam beg. “Eleh… kedekut! Dengan aku pun nak berahsia,” kata Badri sambil mencebikkan bibir.

“Eh, suka hati akulah! Sibuk aje.” Aku membalas dengan cebikan juga. “Nak apa? Sibuk aje kacau orang,” soalku, malas bertekak. Bercakap dengan Badri memang selalu menyakitkan hati. Asyik dia aje yang nak menang.

“Ni haa… aku datang nak bagi surat.” Badri menghulurkan sehelai kertas yang dilipat kemas ke arahku. “Penatlah aku. Asyik-asyik jadi posmen tak bergaji kau,” rungutnya pula.

Aku ambil surat itu dari tangannya. “Siapa suruh kau jadi posmen? Kan aku dah cakap, aku tak nak surat-surat cinta ni semua?” balasku geram. Sikit sikit nak salahkan aku. Bukan aku mintak pun nak dapat surat cinta. Setiap minggu, pasti ada dua atau tiga kali aku menerima surat daripada orang yang tidak aku kenali. Kalau tak Badri, tentu Mizah teman sebilikku yang datang menyampaikan utusan. Bila ditanya daripada siapa, tidak pula mereka tahu. Kata kedua-duanya, surat itu diterima daripada orang kedua dan mereka hanya menjadi orang ketiga.

Namun bagiku, surat itu langsung tidak penting dan tiada makna. Lantaklah orang kedua ke, ketiga ke, atau keempat dan kelima sekali pun, aku tak peduli. Tak pernah sekali pun aku luangkan masa untuk membaca surat-surat yang dikirim itu. Kerana apa? Kerana hatiku ini sudah penuh dengan rasa cinta pada si jejaka berkemeja putih yang bernama Hairey itu.

“Dah tu, tak nak baca?” tanya Badri bila melihat aku memasukkan surat di tangan ke dalam beg.

“Malas,” jawabku sepatah. Mudah sekali.

Badri tergeleng-geleng. “Kau ni… dah ada orang suka, kau buat tak layan aje. Mamat baju putih tu jugak yang kau dok kejar. Apa istimewanya mamat tu?”

Aku menyimpul senyuman. Katalah apa saja, aku tetap setia dengan kata hatiku. Badri takkan faham. Malah, satu dunia ini juga takkan faham. Aku tiba-tiba terkenang pertemuan pertama aku dengan Hairey. Maksud aku, ketika kali pertama aku ternampak dirinya. Aku sendirian di kafe menunggu Badri dan Mizah. Tiba-tiba saja Hairey masuk ke kafe. Serentak itu, mataku ini terus terpaku padanya hingga aku terlupa sebentar bagaimana caranya untuk berkelip. Dia juga menoleh ke arahku. Aku cuba tersenyum namun bibirku seolah-olah lumpuh buat seketika. Sejak itu, aku sudah jadi angau dengan dirinya. Gila bayang? Pun boleh!

“Nak kata hensem, aku ni lagi hensem…”

Kata-kata Badri itu menarik aku untuk berpaling ke arahnya. Eiii… statement nak mintak penyepak ke apa ni? Gila perasan! “Kau nak aku bagi cermin ke? Aku ada bawak bedak kompak aku ni. Nak pinjam?” soalku sambil menjegilkan mata.

Badri ketawa bagai nak rak. Aku merengus. Huh, suka sangat buat aku marah. Entah macam manalah aku boleh jadi rapat dengan dia ni, aku pun tak tahu. Rengusanku terus bertukar menjadi senyuman manis sebaik mataku terpandangkan Hairey melintas di depanku. Dia berjalan dengan penuh gaya, langsung tidak menoleh kiri dan kanan. Aku yang melihat, terasa bagai ada bunga-bungaan jatuh berguguran di sekeliling. Ala-ala musim bunga kat Jepun tu.

Aku memaniskan senyumanku. Berharap agar dia menoleh dan melihat diriku. Namun hampa bila dia terus berjalan ke depan tanpa langsung hiraukan aku. Pandang dengan ekor mata pun tak! Serta-merta rasa hampa membelit hatiku. Tawa kuat dari arah sebelah memaksa aku agar berpaling. Ewah! Ewah! Enak dan lazat berkrim betul si Badri ni ketawakan aku!

Aku segera berdiri. Malas melayan. Daripada duduk di sini dan terus menyakitkan hati melayan Badri, baiklah aku pulang ke kolej.

“Nak balik dah ke, Liza? Alah kau ni… sikit-sikit nak merajuk,” usik Badri sambil ketawa lagi.
Aku geram. Terus aku pukul bahunya dengan beg sandangku. Badri mengaduh kesakitan.

“Padan muka!” kataku keras lalu berpaling meninggalkan dia di situ.


PULANG dari kuliah, aku terserempak dengan Hairey yang sedang berbual-bual dengan rakan-rakannya. Seperti biasa, dia tetap memakai baju kemeja warna putih. Aku tahu, dia sangat menggemari warna itu. Hampir setiap hari dia mengenakan baju kemeja warna putih, tetapi dari jenis dan design yang berbeza-beza. Sungguh, mataku ini seolah-olah terpaku di wajahnya tanpa dapat dialihkan lagi.

Dalam kepala, aku berfikir-fikir. Apa aku nak buat ya? Nak buat bodoh aje ke… nak pergi tegur? Tapi malulah… kan ke ramai kawan dia kat situ. Nanti aku dituduh perempuan tak tahu malu pulak. Terus merudum ‘saham’ aku di mata dia.

Arh! Belum cuba belum tahu, kan? Aku tersengih sendiri memasang angan. Gatal jugak aku ni. Hehee… Senyuman aku sembunyikan sambil mula mengatur langkah. Sampai di depannya, aku pura-pura terpelecok dan jatuh terduduk di situ juga. “Aduh!” Mak aiii… sakit jugak pinggul aku ni. Ingatkan tadi nak berlakon aje, sekali betullah sakit! Aku mengurut-urut pinggang yang terasa sengal.

“Awak… awak tak apa-apa?”

Suara itu memanggil aku untuk mendongak. Di depanku, Hairey berdiri sambil merenungku dengan pandangan redup. Jantungku mula lari dari rentak normal. Dia tegur aku? Dia tegur aku? Aarrrr! Aku betul-betul rasa nak jerit sekarang.

“Awak?” Teguran kali kedua Hairey membawa aku kembali ke alam nyata. Ish, jauhnya aku berkhayal. Segera aku mengangguk sambil memaksa bibir untuk tersenyum. Hati rasa berbunga-bunga mekar sekebun!

“Nak saya tolong?”

Aduh… suara Haireykah yang bertanya itu? Kalaulah ada pita rakaman, dah tentu aku rakam suaranya ini. Malam nanti sebelum tidur, aku akan mainkan berulang-ulang kali sampai aku tertidur. Untung-untung dia akan masuk dalam mimpi aku, mana tahu kan?

“Awak?”

“Err… ya, saya okey! Thanks…” ucapku sambil cepat-cepat bangkit berdiri. Kakiku masih terasa sakit tapi aku tetap berlakon kononnya okey. Tak naklah dia tolong. Kang ada pulak adegan pegang-pegang. Hisy! Tak ready lagi.

“Betul ni?” tanya Hairey lagi. Aku perasan matanya jatuh pada kakiku. Mungkin nak pastikan yang aku betul-betul okey.

Heaven sungguh!

Aku angguk berulang kali. “Okey. Terima kasih sebab sudi nak tolong saya,” ucapku terharu. Tak sangka, dia sudi jugak tolong aku. Itu baru jatuh sikit. Agaknya kalau aku pura-pura pengsan tadi, apa dia nak buat ya? Aku tersengih sendiri. Gatal!

“Okey… Emm… saya pergi dulu.” Hairey menundukkan sedikit kepalanya sebelum berlalu mendekati rakan-rakannya semula.

Aku pandang langkahnya dengan senyuman di bibir. Oh Hairey… aku benar-benar dah jatuh cinta!


AKU masuk ke bilik dengan senyuman yang masih tak lekang dari bibir. Malah makin manis pula jadinya. Namun, huluran kertas di tangan Mizah membuatkan senyuman aku sirna. Pudar sepudar-pudarnya!

“Surat lagi?” tanyaku dengan keluhan.

Mizah angguk sambil tersengih. “Ambiklah,” suruhnya.

Aku pandang surat itu sekilas sebelum mengambilnya. Ish, buat hilang mood aku aje surat ni. Macam biasa, surat itu aku sumbat ke dalam beg tanpa berniat mahu membacanya. Dalam waktu sekarang, dapat surat cinta berpuluh-puluh pun aku tak heran sebab hati aku ni memang dah tak ada ruang kosong langsung. Semua tempat dah diisi oleh Hairey. Epik, kan?

“Tak nak baca jugak?” tanya Mizah sambil bercekak sebelah pinggang memandangku. Dia ni dengan Badri sama aje. Elok sangatlah tu kalau nak couple.

Aku melabuhkan duduk di birai katil. “Malas.” Jawapan sama aku berikan.

Mizah mengeluh. Teringatkan Hairey, aku bangkit berdiri sambil menarik tangan Mizah supaya duduk di sebelahku.

“Ish, apa ni tarik-tarik? Nasib baik tak tertungging,” marah Mizah.

Aku ketawa saja. “Mizah, kau tahu tak… tadi kan aku terserempak dengan Hairey!” Aku membuka cerita tentang jejaka idamanku itu. Tentang bagaimana aku pura-pura jatuh hingga membawanya menegur dan cuba membantuku. Kalau macam nilah indahnya perasaan tu, jatuh hari-hari pun aku sanggup!

“Liza, kau ni dah angau tau tak? Angau tahap kronik!”

Aku tersenyum saja. Langsung tak peduli apa kata Mizah. Yang aku tahu, perasaan di hati buat Hairey semakin mendalam. Berbunga-bunga dan bercahaya!


BUKU yang terletak elok di atas rak itu aku capai. Bibirku mengukir senyum. Jumpa pun akhirnya! Tanpa bertangguh, aku segera mengatur langkah untuk kembali ke meja yang aku pilih tadi. Namun langkahku mati sebaik terpandangkan Hairey sedang duduk seorang diri di satu meja. Dia kelihatan sungguh kacak dengan kemeja putih berjalur-jalur itu. Seolah-olah warna putih itu menggambarkan betapa sucinya cinta dia buatku. Hehe! Perasan betul! Aku sengih sendiri.

Alah… setakat berangan dalam hati. Dia bukan dengar pun.

Senyumanku pudar bila melihat seorang gadis datang menghampirinya. Selamba saja gadis itu memegang bahunya, sebelum mengambil tempat di sebelahnya. Mataku terbuntang luas. Siapa tu? Jantung mula berdegup tak menentu bila Hairey melayan gadis itu dengan cukup mesra sekali.

Hati aku pedih. Sungguh… rasa macam kena tikam dengan pisau tajam. Perit dan sangat-sangat menyakitkan. Perasaan hormat dan kagum aku pada Hairey jatuh merudum-rudum. Bukan macam nangka jatuh. Bukan macam orang accident motosikal dan tercampak dalam longkang. Tapi dah macam orang terjun bangunan sebab frust bercinta!

Hati sakit, tapi mata masih lagi tak puas nak perhatikan dia. Hairey dan gadis yang tak aku kenali itu tiba-tiba bangun. Gadis itu membantu Hairey mengemas barang-barangnya. Kemudian mereka sama-sama bergerak keluar dari perpustakaan. Aku ketap bibir kuat-kuat. Sampai hati! Selama ni aku sabar tunggu dia, intai dia dari jauh. Tapi dia dah ada yang punya rupa-rupanya! Aku tahu aku tak berhak, tapi aku tetap rasa dikhianati. Mak, nak nangis!

Tapi aku segera pujuk hati. Takkan nak mengalah macam tu aje, kan? Lalu, aku segera bergerak ke arah meja. Beg dan buku-buku aku kemas. Kemudian laju aku bawa langkahku mengekori Hairey dan perempuan gedik itu. Apa lagi? Stalk!

Aku mengikut Hairey dan gadis itu hingga tiba di kafe. Di sebalik pintu, aku perhatikan mereka berdua. Hati aku rasa berdarah-darah. Mesranya mereka, sampai aku tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan kemesraan itu. Mata dah berkaca-kaca. Aku ke yang terlalu perasan selama ni? Aku ke yang kuat berangan? Aku ke yang gila sampaikan langsung tak terfikir nak siasat sama ada dia tu dah ada yang punya atau belum?

Aku membawa langkah keluar dari kafe. Frust! Frust! Sungguh aku frust sekarang ni. Aku berjalan laju tanpa memandang kiri dan kanan. Kalau ada tiang kat depan aku, mampus kena langgar. Arh, aku dah tak peduli. Apa nak jadi pun jadilah!

“Liza!”

Panggilan itu tidak aku hiraukan. Rasa kecewa yang membukit di hati bagai memaksaku untuk tidak peduli dengan hal keliling. Biarlah sekiranya putera raja yang memanggil sekali pun, aku tetap malas peduli.

“Liza! Weh, pekak ke apa?”

Aku terasa begku ditarik dari belakang. Nak tak nak aku terpaksa berpaling jugak. “Nak apa?!” tanyaku kasar sambil merenung tajam muka Badri. Tengah-tengah aku bad mood ni jugak dia nak datang kacau. Sepak nak?

“Amboi… garangnya. Asal ni? Bendera Jepun ke?” tanya Badri sambil tergelak-gelak.
Aku merengus. “Bendera Jepun ke, Korea ke, Taiwan ke… apa kau peduli?” balasku kasar. Sakit hati. Boleh pulak buat lawak bodoh macam tu.

Badri tersengih-sengih. “Alah… gurau aje. Ni haa… aku cari kau nak bagi su…”

Belum sempat Badri noktahkan ayat, aku segera rampas surat di tangannya. Tak payah cakap, aku dah tahu. Tanpa mempedulikan dia lagi, aku segera berpusing dan melangkah pergi dengan rasa yang mendongkol di hati.


SAMPAI di bilik, aku terus memanjat katil. Mukaku tekup ke bantal. Menahan air mata yang bila-bila saja boleh menitis. Aku tak tahu kenapa aku harus menangis. Hebat sungguh penangan Hairey hingga membuatkan aku kecewa sebegini rupa. Kalaulah aku tahu jatuh cinta dengan dia hanya akan membuat aku jadi begini, sumpah aku takkan jatuh cinta dengan dia! Tapi, bukan aku yang mintak semua ni jadi.

Tiba-tiba saja, aku teringatkan surat-surat cinta yang selama ini aku terima dari orang yang aku tak kenali. Aku terus mengangkat muka. Mata yang basah aku kesat hingga kering. Mungkinkah ini masanya untuk aku membaca surat-surat yang selama ini tak pernah aku sentuh itu?

Ya, mungkin inilah hikmahnya. Aku kecewa dengan Hairey, tetapi masih ada yang menyayangi aku. Cuma aku yang selama ini tidak reti menilai. Aku turun dari katil menuju ke arah meja belajarku. Kotak yang bersaiz sederhana di atas meja itu aku capai. Penutupnya aku buka. Di situlah tempat aku menyimpan semua surat yang aku terima. Banyak juga rupa-rupanya. Hampir berbelas-belas juga semua sekali. Aku membawa kotak itu ke arah katil.

Aku duduk bersila sambil membuka surat itu satu-persatu. Tulisan-tulisan yang tertulis kemas di dalamnya aku baca. Ralit sungguh aku baca kata-kata indah yang tertulis, seolah-olah surat-surat cinta itu membawa aku masuk ke alam lain. Alam yang penuh dengan bunga-bunga cinta bersama si pengirimnya.

Sungguh… Aku tidak tahu bagaimana mahu mengungkapkan perasaanku. Yang pasti, hati yang kecewa bagai terpujuk dengan hanya membaca kata-kata di dalam surat yang selama ini aku abaikan. Kalaulah aku tahu indahnya perasaan ini, sumpah aku tidak akan menyimpannya ke dalam kotak. Seolah-olah menjadikannya koleksi peribadiku.

Habis semua surat itu aku baca, aku meniarap di atas katil sambil menongkat dagu. Termenung. Sejenak, aku teringat salah satu ayat yang aku baca di dalam surat-surat itu tadi.

Antara realiti dan fantasi, saya lebih memilih fantasi kerana di situ saya dapat lihat kehidupan saya yang indah bersama awak. Walaupun cuma fantasi, ia pastinya sangat indah hingga saya merasakan tidak perlu lagi pulang ke dunia realiti.

Aku tersenyum sendiri. Wahai pengirim surat… siapakah kau?


SEDANG aku asyik berkhayal sambil menyedut minumanku, aku terkejut mendengar satu suara memanggil namaku. Aku berpaling. Melihat wajah Hairey, aku terbangun dari duduk. Aku mimpi ke? Hairey datang tegur aku? Dia tegur aku? Aku tepuk pipi kanan. Sakit. Pipi kiri pula aku tepuk. Pun sakit juga. Sah, aku tak mimpi!

Hairey tersenyum. Mungkin lucu melihat tingkahku yang kalut itu. Percaya atau tidak, senyumannya itu tidak lagi meninggalkan kesan di dalam hatiku. Aku sudah cukup kecewa dengannya. Jadi aku tidak perlu terlalu gembira bila dia datang menegurku, kan?

“Hmm… boleh saya duduk?” tanya Hairey dengan suara lembut.

Aku telan liur. “Err… rasanya tak ada pun nama saya kat kerusi tu, kan? Duduk ajelah kalau nak duduk,” jawabku selamba.

Dia tersenyum lagi. Erk. Sewel eh mamat ni? Aku kembali duduk di kerusiku tadi sementara dia duduk di depanku. Jariku bermain-main dengan straw di dalam gelas. Gelisah. Resah. Tak tahu nak buat apa. Asal dengan mamat ni? Tak ada tempat lain ke nak duduk?

“Hmm… awak seorang aje ke? Kawan-kawan awak mana?” Hairey bertanya sambil memandang wajahku.

Kawan-kawanku? Dia kenal ke kawan-kawan aku? Eh, ni pelik ni. Macam mana pulak dia boleh kenal kawan-kawanku? “Emm… diorang ada kelas. Saya lepak sorang je kat sini…” jawabku, cuba mencampak jauh-jauh syak wasangka itu. Mungkin dia selalu nampak aku lepak dengan Mizah dan Badri kot.

“Ohh… kalau macam tu, bolehlah saya temankan awak, kan?” Hairey senyum lagi.

Aku hampir tersedak. Mujur air yang aku sedut tak tersembur ke muka Hairey. Cepat-cepat aku lapkan bibirku dengan hujung lengan bajuku. Namun aku tersentak bila Hairey tiba-tiba menghulurkan tisu ke arahku. Aku pandang wajahnya, dia pun pandang wajahku. Jantung berdegup satu macam. Gila! Aku memarahi diri sendiri. Pun begitu, tisu hulurannya tetap aku ambil.

“Sebenarnya, saya ada benda nak cakap dengan awak…” Dia merenung wajahku.

Sungguh aku tak keruan dengan renungannya itu. Patut ke aku lari sekarang? Aku perhatikan lantai kafe. Licin ke tak? Agak-agak kalau aku buat lari pecut lepas ni, jatuh tak? Sedang aku berfikir-fikir, aku terkejut bila tiba-tiba Hairey menghulurkan sehelai kertas kepadaku. Kertas itu dilipat cantik.

Eh? Takkan dia ni pun nak main kirim-kirim surat jugak? Siapa yang ajar ni?

Aku memandang kertas itu tidak berkelip. Dia bagi aku surat? Surat apa ya? Surat cinta ke? Aku tertelan air liur. Sejak bila pulak dia cintakan aku?

“Ni… untuk awak,” ujar Hairey. Surat di tangan didekatkan ke arahku.

Aku teragak-agak. “Apa ni?” soalku.

“Ambillah… saya nak awak baca…” ujarnya.

Belum sempat aku jawab, seorang gadis datang menghampiri kami. Aku menoleh memandang wajah gadis itu. Eh, ini bukan ke minah gedik yang ‘beramas’ mesra dengan Hairey hari tu? Hati aku dah mula meluat tengok senyuman gadis itu.

“Abang, tadi janji nak teman Farah makan. Jomlah!”

Ya Allah, nak termuntah biru aku tengok aksi manja mengada-ngada minah ni! Nasib baik Hairey bukan kekasih aku. Kalau tak, aku merajuk 40 hari, 40 malam. Hah, berangan lagilah kau, Liza!

“Kejap, abang…”

“Saya balik dululah. Bye…” Aku bangun mencapai beg.

“Err… tapi…” Hairey cuba menghalang tapi aku malas peduli. Lekas-lekas aku berjalan keluar dari kafe. Di luar, aku menghembus nafas panjang. Kenapa Hairey memberi aku surat? Surat apa tu? Surat cinta ke? Habis, takkan surat cerai, kan?

Tapi… kenapa hati aku tak rasa teruja pun? Ke sebab aku dah kecewa sangat dengan dia? Mungkin ya… Sekarang ini aku cuma mahu tahu siapa lelaki yang selama ini setia mengirim surat kepadaku. Tetapi kalau betul aku tak kisah lagi dengan Hairey, kenapa hati aku sakit bila minah gedik tu bermanja-manja begitu dengannya?

Arh, kusut!


BERHARI-HARI aku menunggu, surat dari si pengirim itu tidak juga aku terima. Aku mengeluh kecewa. Sungguh-sungguh kecewa. Pada saat aku mula membuka ruang di hatiku untuk kehadirannya, kenapa pula dia seolah-olah menghindarkan diri? Adakah dia sudah jemu menungguku kerana selama ini aku tidak pernah memberi ‘lampu hijau’ padanya?

Entah, aku tak pasti. Puas sudah aku tanyakan pada Badri dan Mizah, tetapi jawapan kedua-duanya tetap sama. Mereka tidak lagi menerima apa-apa surat daripada sesiapa. Atau dalam erti kata lainnya, si pengirim itu memang sudah tidak sudi mengirim aku surat lagi.

Hairey? Usah disebut lagi soal lelaki berkemeja putih itu. Setiap kali terserempak, aku pasti akan melarikan diri. Kalau dulu mataku ini seolah-olah dipaku setiap kali melihat wajahnya, kini tidak lagi. Seakan-akan ada kekotoran di situ yang menghalangku untuk memerhatikan dia lagi. Apa yang lebih mengusik perhatianku sekarang, si pengirim surat yang kini sudah menyepi.

Hinggalah pada satu hari, ketika aku bersendiri di perpustakaan. Setelah dapat buku yang aku mahukan, aku kembali ke meja. Tetapi aku terkejut melihat ada sehelai lipatan kertas yang diselitkan di celah-celah buku notaku. Menyangkakan itulah surat yang selama ini aku tunggu-tunggu, aku segera membuka lipatan itu tanpa ragu.

Awak tahu tak apa itu rindu? Rindu itu adalah satu perasaan yang kuat untuk bertemu seseorang pada saat kita jauh darinya. Atau lebih tepat lagi, rindu tercipta untuk orang kita sayang. Sama macam perasaan saya pada awak pada waktu ini.

Aku tersenyum membaca coretannya itu. Wahai si pengirim… sampai bila nak main sorok-sorok macam ni? Baru saja aku mahu melipat surat itu semula, aku terperasankan tulisan yang tertulis di bahagian bawah kertas itu.

Kalau awak nak kenal saya, jumpa saya di padang sekarang.

“Jumpa di padang?” Aku mengulang baca ayat itu sekali lagi. Adakah itu mesej daripada si pengirim itu? Aku berfikir-fikir sendiri. Setelah otakku sudah dapat menerima mesej yang hendak disampaikan, aku segera mengemas barang-barang. Mungkin inilah saatnya aku dapat mengenali si pengirim surat itu. Ya, inilah saatnya!


AKU melilaukan mata ke sekeling padang. Agak ramai juga orang pada waktu itu. Tetapi dalam ramai-ramai, yang mana satu si pengirim surat itu? Atau adakah dia cuma main-mainkan aku? Hisy! Aku tergeleng-geleng. Takkanlah…

Aku perasan ada seseorang sedang berjalan mendekatiku. Aku tahu siapa dia tetapi aku malas peduli kerana bukan dia yang aku cari pada ketika ini. Namun bila dia menegurku, tak dapat tidak aku tetap berpaling kepadanya. Senyuman tak ikhlas aku hadiahkan padanya.

“Tak sangka awak datang jugak…” kata Hairey. Macam biasa, kemeja putih tetap menjadi pilihannya.

“Ha?” Aku kerutkan muka memandangnya. Macam ada ‘sesuatu’ saja pada ayatnya tadi.
Hairey tersenyum. Aku akui, senyumannya memang sangat-sangat manis dan menawan tetapi aku berlagak kononnya senyumannya langsung tak goyahkan aku.

“Suka apa yang saya tulis dalam surat hari ni?” tanya Hairey.

Aku tercengang-cengang. Eh, bila masa pulak aku baca surat dia? Paling penting, bila masa pulak dia bagi aku surat? “Awak merepek apa ni?” soalku.

“Saya dah malas nak main teka-teki…”

“Siapa yang main teka-teki dengan awak?” pintasku laju.

“Cik Liza, boleh tak bagi saya peluang habiskan ayat saya dulu?” Hairey kini berdiri tegak menghadapku.

Aku telan liur. “Apa?” Dengan muka masam aku bertanya.

“Awak tak nak tahu siapa yang bagi awak surat selama ni?” tanya Hairey.

“Awak tahu ke?” Aku balas dengan soalan juga.

Hairey tersenyum lagi. “Sayalah orangnya…”

“Hah?!” Aku ternganga memandang Hairey. Sampai lupa sekejap nak control ayu. Eh, dia cakap apa tadi? Dia pengirim surat tu? Erk… tipu! Tipu! Tak nak percaya!

“Betul, sayalah yang bagi surat-surat tu…”

Aku terdiam. Terpaku, terpegun, terkesima, tergamam dan segala perkataan yang membawa maksud terkejut lagi. Tidak berkelip mataku menatap wajahnya yang masih dihiasi senyuman.

“Saya nak bagi direct, segan. Sebab tu saya guna orang tengah untuk bagi surat tu pada kawan awak. Sampailah hari tu saya rasa yakin nak bagi surat tu sendiri kat awak. Tapi awak pulak tak nak layan…” Dia memasukkan tangan ke dalam poket. Dapat aku dengar keluhan kecewanya tadi.

Aku kerling wajahnya. “Dah awak dah ada yang punya…” Perlahan aku membalas. Aku sebenarnya masih lagi terkejut. Sungguh aku tak sangka selama ini Hairey meminati aku dalam diam. Yalah… selama ni aku bukan main lagi stalk dia dari jauh. Tak sangka dia pun buat benda sama. Cuma dia advance sikitlah… siap main kirim-kirim surat lagi. Ayat-ayat yang dia tulis tu boleh tahan power. Tak sangka, jiwang jugak mamat ni.

“Apa dia? Awak kata apa?” Hairey mengerutkan muka memandangku.

“Saya kata, awak dah berpunya,” ulangku. Suara aku kuatkan sedikit, mahu dia dengar dengan jelas dan terang.

Dia tersenyum. Senyumannya kemudian bertukar menjadi tawa. Aku pula yang terpinga-pinga. Bila masa aku buat lawak? Cara dia gelak macam tengah tengok drama lakonan Zizan Raja Lawak ni apahal?

“Maksud awak, perempuan yang tegur saya masa saya bagi awak surat hari tu?” tanya Hairey lagi.

Aku diam. Meluat mengingati perempuan itu. Atau… itukah perasaan yang dinamakan cemburu? Erk…

“Itu adik sayalah…”

Mendengar tiga patah perkataan itu, mataku terbuntang luas. Pipi terasa membahang. Rona-rona merah mula tumbuh di sekitar wajahku. Aku tertelan air liur. Adik? Rasa macam nak menyorok dalam tanah aje sekarang ni.

“Kenapa diam?” Hairey bertanya lagi. Kali ini dia sudah berdiri tegak sambil merenung redup ke wajahku.

“Err… tak ada apa…” dalihku.

Dia senyum lagi. Terpaksa aku akui, senyumannya itu benar-benar buat aku terpikat. “Dah baca surat saya?”

Aku angguk sekali.

“So?” Dia angkat sebelah kening.

Aku memandang wajahnya. Senyuman aku sembunyikan. “Nak lagi surat lain boleh?” pintaku dengan wajah yang memerah. Tetapi rasa malu itu aku tepis jauh-jauh.
Hairey senyum lagi. “Bila?”

“Esok,” jawabku laju. Suka-suki buat request.

Dia mengangguk. “Okey…”

“Okey… kalau macam tu jumpa esok. Bye!” Aku melambai dan kemudian berpusing meninggalkan dirinya. Dia memanggil, tetapi aku tidak mahu peduli. Aku perlukan masa untuk berdepan dengannya esok. Namun begitu, bibirku tetap tidak dapat lari dari mengukir senyuman manis. Aku gembira kerana lelaki berkemeja putih yang selama ini aku minati dalam diam juga menaruh minat padaku. Perasaan yang kononnya aku tanamkan padanya sejak beberapa minggu yang lepas kini bagai tumbuh kembali hanya dengan membaca kata-kata indah yang dicoret dalam surat buatku, khas dari hatinya yang ikhlas.

*-*-*-*-*

p/s --> Cerpen tak seberapa ni ditulis khas untuk sahabat saya Ja. Dia minat sangat tengok lelaki berkemeja putih. Jadi cerpen ni pun diilhamkan daripada minat dia tu. Maaf kalo cerpen ni tak menepati citarasa pembaca. Kalo bosan ke, tak best ke, rasa ntah pape ke, harap dimaafkan. Semoga saya terus diberi ilham untuk cerpen yang lain pula. Terima kasih! :)
Comments
1 Comments

1 comments:

najiehah said...

alahai..comelnyer...
liza2..asal tak terime jer...
buat abis karen jer tunggu esok...
hehehe

Post a Comment

 
Copyright © 2012 - All right reserved |Kafe Novella