Profile Facebook Twitter My Space Friendster Friendfeed You Tube
Kompas Tempo Detiknews
Google Yahoo MSN
Blue Sky Simple News Simple News R.1 Simple News R.2 Simple News R.3 Simple News R.4

Monday, July 7, 2014

Utama » , , » Novel : Lambang Cinta - Bab 1

Novel : Lambang Cinta - Bab 1

Penulis : FARZARA HANANY
BAB 1

Kehijauan sawah padi yang terbentang luas mempesonakanku. Sudah terlalu lama aku tidak menjejakkan kaki ke kampung Jeram Pandan ini. Semuanya masih sama seperti dahulu. Kicauan burung yang bernyayi riang menambahkan kerinduan aku pada kampung ini. Adakah teman-temanku juga seperti kampung ini? Masih tidak berubah biarpun bertahun-tahun tidak bertemu? Aku melepaskan sebuah keluhan. Keluhan yang terlalu sukar untuk ditafsirkan maknanya.

Minggu lepas aku menerima sekeping kad undangan perkahwinan. Terteranama sahabatbaikku, Noraini Abdul Sani dan Lukman Hafizi Hakim. Tulisan yang disadur dengan emas itu kelihatan sungguh ekslusif. Siapa sangka pasangan yang sering mendiamkan diri apabila bertemu akhirnya bersatu jua. Itulah jodoh namanya! Sudah lama aku tidak mendengar khabar berita dari mereka. Sejak kami graduate aku hanya berhubung dengan Sofea sahaja. Jika tidak kerana paksaan dari Sofea, mungkin aku tidak akan menjejakkan kaki ke sini.

Mama juga turut mendesak supaya aku hadir di hari bahagia Aini. Meskipun hati dan langkah kakiku terasa berat namun aku gagahi juga demi sahabat-sahabat yang sentiasa berharap untuk menemui aku setelah hampir tujuh tahun tidak bersua muka. ‘Bukan niatku untuk menjauhkan diri dari kalian jauh sekali untuk lari dari takdir tetapi fahamilah teman-teman hanya dengan cara ini sahaja aku bisa mengurangkan beban di hati!’

Sudah bersediakah aku untuk bertemu dengan dirinya? Bertemu dengan pria yang pernah hadir di hatiku hanya sekejap cuma? Pria yang memberi aku seribu satu harapan lalu menghilangkan diri di sebalik kabus-kabus yang terus menenggelamkan dirinya sehingga ke hari ini.

Dari jauh sudah kelihatan dua buah khemah besar di halaman rumah batu dua tingkat yang dahulunya sering menjadi kunjunganku. Masih ingatkah lagi penghuni rumah itu kepada aku? Aku tersenyum sendirian tatkala kenangan bersama teman-teman singgah di benak fikiranku.

Aku membelokkan kereta Perdana V6 yang aku pandu ke halaman rumah tersebut. Perlahan aku menapak keluar dari perut kereta. Kelihatan orang ramai begitu sibuk dengan kerja masing-masing. Langkahku terasa kaku. Tiba-tiba mataku bertaut dengan tiga pasang mata yang cukup aku kenali.

“Shara!” gadis yang terpancar seri pengantin di wajahnya serta inai di jari jemarinya menegurku.

Air mata yang cuba aku tahan sebelum sampai ke sini jatuh juga akhirnya. Aku mengangguk perlahan seraya memeluk erat teman-temanku. Rinduku pada mereka tidak dapat dirungkaikan dengan kata-kata. Merekalah teman yang sanggup berkongsi segala suka dan duka bersamaku. Teman yang selalu ada saat aku dilanda badai kesusahan. Teman yang juga menemukan aku dengan pria itu!

“Mana kau hilang selama ni, Shara?” Azira memandang wajahku dengan penuh pengharapan. Berharap aku akan menceritakan segala-galanya.

“Aku mengajar di salah sebuah sekolah kat Cameron Highlands. Lima tahun aku dengan mama tinggal kat sana. Aku balik KL sebab aku ditukarkan ke sini,” jelasku. Pada mulanya aku ingin terus mengajar di Cameron Highlands tetapi khidmatku lebih diperlukan di sini. Sebagai pendidik, suka atau tidak aku terpaksa.

“Kalau kau tak ditukarkan ke sini tentu sampai sekarang pun kau takkan balik KL lagi kan! Atau mungkin kau akan terus hilang tanpa sebarang khabar berita!” suara Aini sedikit sebak. Aku tahu teman-temanku terasa hati dengan keputusanku tetapi aku tidak punya pilihan. Aku perlukan waktu untuk menilai kembali diri ini.

“Aini, Zira, Fea... aku tahu aku salah! Aku tahu aku tak sepatutnya pergi tanpa bagitau apa-apa pada korang semua. Tapi aku tak sanggup nak ucapkan selamat tinggal. Sebagai seorang guru khidmat aku diperlukan di mana-mana sahaja. Aku harus akur dengan pilihan aku!” aku memegang erat tangan teman-temanku meminta sebuah pengertian. Wajah mereka ku tatap satu persatu. Kami lantas berpelukan. Tangisan gembira memeriahkan suasana kamar pengantin yang terhias indah dengan bertemakan warna ungu silver.

“Sekarang ni kita tak payah sedih-sedih lagi. Kita semua dah berkumpul semula. Lepas ni kita janji takkan berpisah lagi,” Sofea bersuara setelah semuanya ketawa gembira. Kami berempat sama-sama mengangkat tangan melafazkan ikrar persahabatan yang kami cipta sewaktu di alam kolej dahulu.

Mak Seha menyuruh aku membersihkan diri terlebih dahulu. Dia tahu aku keletihan. Kuala Lumpur ke Perak bukan dekat. Sakit juga badan aku kerana memandu terlalu lama. Sama seperti dahulu aku masih menghuni kamar yang menghadap ke arah laut. Kata Mak Seha dia sentiasa mengemas bilik itu kerana dia yakin bahawa aku akan pulang suatu hari nanti. Mak Seha sudah aku anggap seperti ibuku sendiri. Ibu Aini itu mengasihi aku sama seperti dia mengasihi Aini. Kerana itulah aku sering berasa dekat dengannya.

Banyak perkara yang aku ‘terlepas’ sebenarnya. Azira telah mengikat tali pertunangannya dengan Amir. Bila ditanya bila akan mengakhiri zaman bujangnya Azira berkata bahawa dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sofea pula masih dalam proses mengenali hati budi Fauzan. Sudah berkali-kali Fauzan melamarnya namun Sofea masih belum memberi sebarang jawapan. Dia masih belum yakin untuk mempunyai hubungan yang serius dengan Fauzan. Aku sendiri tidak pasti mengapa tetapi aku tahu bukan senang untuk seorang gadis menerima lamaran dari seorang jejaka kerana ianya bersangkut paut dengan masa depan.

Aku gembira mendengar kisah percintaan mereka. Ternyata jodoh mereka dengan lelaki zaman kolej kami sendiri. Tidak sabar pula rasa hati untuk bertemu dengan Hafizi, Amir dan Fauzan. Seperti apa mereka sekarang? Dan bagaimana pula dengan pria itu? Adakah dia masih seperti dahulu atau waktu telah mengubah dirinya? Ah... Shara, mengapa kau masih berharap untuk bertemu dengannya! Dia sudah menjadi sebahagian dari masa lalumu Shara dan tak akan pernah mungkin menjadi masa depanmu!

Kata Azira mereka bertiga menginap di rumah Hafizi dan mungkin sebentar lagi mereka akan datang. Apa yang harus aku katakan seandainya kami bertemu? Oh Tuhan, bantulah hamba-Mu ini untuk meleraikan segala kekusutan yang telah sekian lama terbelit di hati!

Aku bahagia melihat teman-temanku bahagia. Masing-masing sudah mempunyai kehidupan tersendiri. Dan aku... aku masih seperti hari-hari lalu. Melewati hari-hari sepi tanpa teman di sisi. Hanya mama tempat aku bermanja.

Suara riuh anak-anak kecil di halaman rumah menarik perhatianku. Alangkah indahnya jika aku mampu kembali menjadi anak kecil. Hidup riang tanpa perlu memikirkan masalah. Namun semua itu tidak mungkin terjadi kerana setiap manusia akan merasa alam kanak-kanak dan alam dewasa hanya sekali seumur hidup. Jika kita melepaskan peluang itu tidak mungkin kita akan diberi peluang lagi.

“Shara!” suara Azira mengejutkan aku daripada terus memerhati anak-anak kecil berlari-larian. Aku menatap wajah gadis berkulit cerah itu dengan senyuman mesra.

“Jom turun. Mereka dah sampai,” jantungku berdebar-debar. Senyuman mesra yang aku lemparkan sebentar tadi mati dengan tiba-tiba. Melihat aku terus kaku, Azira menarik pergelangan tanganku dan mengiringiku ke ruang tamu.

Walaupun hampir lima tahun tidak bertemu tetapi wajah mereka masih terpahat diingatanku. Yang kelihatan hanya Hafizi, Amir dan Fauzan. Di mana dia? Adakah dia tidak ingin bertemu denganku? Salam yang dihulur oleh mereka aku sambut dengan hati yang girang. Ternyata mereka masih seperti dahulu. Sifat keanak-anakan mereka masih tidak berubah walaupun bakal bergelar suami.

“Wah, aku tengok kau dah banyak berubah! Semakin cantik, kan sayang!” ucap Amir sambil mengerling tunang di sisi. Satu cubitan hinggap di peha Amir sehingga dia menjerit kesakitan. Semuanya ketawa melihat gelagat Amir yang sememangnya nakal orangnya.

“Aku tak pernah berubah, Amir. Aku tetap Shara yang korang semua kenal lima tahun dulu. Cuma sekarang keadaan yang berubah. Kita semua bukan lagi berada di alam kolej. Sekarang, masing-masing dah ada kehidupan, kerjaya dan kisah cinta yang tersendiri,” benar teman-teman! Aku masih Shara yang dulu. Shara yang terlalu susah untuk mengungkapkan kata cinta.

Sofea memegang erat tangan Shara Ariana. Dia tahu luka di hati temannya itu masih belum sembuh. Tambahan pula pria itu tidak muncul hari ini. Sofea memandang wajah Fauzan untuk meminta sebuah kepastian. Yang lain masih bergelak ketawa mendengar lawak Amir yang kadang kala tidak masuk akal dan menyakitkan hati.

“Oh ya! Azril kirim salam. Dia mintak maaf sebab tak dapat hadir di majlis kahwin korang berdua esok. Dia terpaksa balik ke KL sebab ada emergency case,” kata Fauzan kepada Aini dan Hafizi. Dia seperti memahami maksud pandangan buah hatinya. Aku cuba untuk senyum apabila semua mata memandang ke arahku.

“Kenapa korang pandang aku macam tu?” aku berasa seperti aku adalah pesalah yang sedang diadili. Sememangnya aku masih belum bersedia untuk bertemu dengannya! Hanya itu yang aku tahu saat ini.

“Azril memang selalu busy! Jangankan nak luang masa dengan kita, nak luangkan masa dengan diri sendiri pun susah. Samalah macam kawan kita yang cantik manis ni. Sebab itulah sampai sekarang dua-dua masih belum ada kekasih,” Aini mengeluh. Shara Ariana masih tidak mampu berkata apa-apa! Hanya senyuman yang mampu dia perlihatkan. Aini cukup mengenali hati budi kedua-dua sahabatnya itu. Shara Ariana dan Azril Hiskandar! Namun sehingga ke hari ini dia masih belum tahu apa yang terjadi di antara mereka berdua.

Petang itu pelbagai rahsia terbongkar. Kisah percintaan Aini dan Hafizi yang bermula di kantin kolej. Kisah Azira dan Amir yang memaksa Amir melakukan apa sahaja untuk mendapatkan perhatian Azira serta Sofea dan Fauzan yang masih belum bersedia untuk mengikat sebarang hubungan istimewa.

Kami juga banyak bercerita tentang kerjaya masing-masing. Aini dan Sofea kini menjadi rakan kongsi dalam membuka perniagaan spa dan kecantikan. Pulangannya sangat menguntungkan. Azira menjadi setiausaha Amir yang telah membuka sebuah syarikat hartanah di Subang Jaya. Katanya dia tidak mahu berenggang walau seketika pun dengan tunangannya itu. Dia sendiri sudah sedia maklum dengan perangai ‘nakal’ Amir yang tidak pernah berubah.

Hafizi kini seorang peguam manakala Fauzan pula seorang jurutera. Dan pria itu, Azril Hiskandar telah menggantikan tampuk perniagaan daddy nya. Aku sedikit kaget mendengarnya kerana aku tahu bukan itu cita-citanya. Apabila mereka mendapat tahu aku kini sudah bergelar seorang ‘cikgu’, mereka beramai-ramai mentertawakan aku. Mungkin tidak menyangka bahawa Shara Ariana yang keras kepala ini adalah seorang guru.

Keriuhan suara kami memeriahkan lagi suasana. Pelbagai kisah lucu yang diceritakan sehingga aku tidak kering gusi mendengarnya. Cuma... ketiadaan Azril Hiskandar cukup dirasai. Bukan hanya aku tetapi yang lain juga turut merasakan hal yang sama!

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2012 - All right reserved |Kafe Novella